SPAOH: Seekor anak biawak yang terperangkap di dalam dapur Tokong Cina Spaoh berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh, pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 10.20 pagi memaklumkan mengenai kehadiran haiwan berkenaan di dalam dapur tokong tersebut.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, Skuad Charlie APM Spaoh digerakkan pada 10.22 pagi dan tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian dengan kekuatan tiga anggota.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati seekor anak biawak berada di dalam dapur Tokong Cina Spaoh.
“Sebelum operasi dimulakan, Ketua Skuad telah memberi arahan kepada anggota supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan berhati-hati sepanjang menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi menangkap reptilia berkenaan mengambil masa beberapa minit sebelum anak biawak itu berjaya ditangkap menggunakan teknik menjerut.
Operasi tersebut disertai tiga anggota lain-lain pangkat (LLP), iaitu Sarjan Kamarrul Badarudin, Prebet Junai Abdul Samat dan Prebet Nuramadanie Noorizam.
“Keseluruhan operasi berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan melibatkan anggota bertugas dan keadaan di lokasi juga selamat serta terkawal,” katanya.
Operasi berkenaan turut menggunakan peralatan seperti penjerut, penyepit, sarung tangan dan topi keselamatan bagi memastikan proses menangkap haiwan tersebut dilakukan dengan selamat.
Kes berkenaan dilaporkan berlaku selepas APM Spaoh menerima aduan daripada orang awam mengenai anak biawak yang terperangkap di dalam dapur tokong berkenaan.
Oleh Adi Safarman




