KUCHING: Permohonan dana industri kreatif yang masih rendah tidak semestinya menunjukkan penggiat seni kurang memerlukan pembiayaan, sebaliknya terdapat beberapa cabaran yang mungkin menyebabkan peluang berkenaan belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata permohonan dana industri kreatif masih rendah meskipun kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi menyokong sektor berkenaan.
Isu itu dibangkitkan ketika beliau berucap pada Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Negeri Sarawak, Sidang 2, Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026 di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, Dana Industri Kreatif Belia Sarawak pada asalnya diwujudkan dengan peruntukan RM5 juta sebagai dana pusingan, namun kadar permohonan dan penggunaan dana berkenaan masih rendah.
Menurut beliau, kira-kira RM8 juta ketika ini masih tersedia di bawah kementerian, walaupun angka tersebut dinyatakan dengan berhati-hati.
Menjawab isu berkenaan, penggiat industri kreatif yang dihubungi Utusan Sarawak melihat permohonan rendah itu perlu dilihat dari sudut yang lebih luas, khususnya berkaitan kesedaran, capaian maklumat dan proses mendapatkan pembiayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Semarak Kreatif Sdn Bhd, Muhammad Azri Ali, berkata kewujudan dana bukanlah masalah utama kerana pelbagai bentuk sokongan kerajaan sememangnya tersedia untuk membantu pembangunan industri kreatif.
Berdasarkan pengalaman pihaknya membuat permohonan, peluang pembiayaan memang wujud dan terdapat projek yang berjaya menerima sokongan.
“Namun, apabila permohonan masih rendah, saya melihat isu ini lebih kepada kesedaran, capaian maklumat dan keyakinan penggiat kreatif untuk memohon.
“Ada dalam kalangan penggiat, khususnya individu dan penggiat secara persendirian, yang mungkin tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya layak memohon, tidak pasti dana mana yang sesuai dengan projek mereka atau menganggap proses permohonan itu terlalu rumit,” jelasnya.
Azri berkata, keadaan tersebut boleh mewujudkan jurang antara dana yang tersedia dengan penggiat yang benar-benar mengetahui cara mengaksesnya.

Menurutnya, penggiat yang baharu dalam bidang berkenaan juga mungkin berdepan kesukaran menyediakan cadangan projek, bajet serta dokumen diperlukan kerana kurang pengalaman dalam proses permohonan.
“Bagi mereka yang baru hendak membina tapak dalam industri, bukan semua mempunyai pengalaman menyediakan proposal, menyusun bajet projek atau memahami keperluan dokumentasi yang diperlukan,” ujarnya.
Justeru, Azri mencadangkan supaya sesi penerangan, klinik pembiayaan dan bimbingan secara terus diadakan secara berkala bagi membantu lebih ramai penggiat memahami peluang serta proses permohonan.
Beliau turut melihat keperluan memperluaskan akses kepada maklumat dan bimbingan kepada penggiat di luar pusat bandar serta mereka yang bergerak secara individu tanpa organisasi atau syarikat berskala besar.
Tambahnya, pendekatan sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran mengenai dana yang tersedia, malah membantu penggiat menyediakan permohonan yang lebih tersusun dan bersesuaian dengan keperluan pembiayaan.
Sementara itu, penulis dan penggiat seni dan sastera, Dahiri Saini, melihat isu berkenaan turut berkait dengan syarat dan tatacara permohonan yang perlu dipenuhi penggiat, terutama bagi projek berskala kecil.
Berdasarkan pengalaman terdahulu, Dahiri berkata beliau pernah memohon dana bagi penerbitan karya dan melalui proses pembentangan projek, namun berpandangan proses permohonan boleh dipermudah supaya lebih sesuai dengan keperluan penggiat yang mengusahakan karya berskala kecil.
“Memang tahu, tetapi syarat dan dana tersebut terlalu banyak syarat. Tambahan tatacara permohonan dana ketat, seperti tidak berbaloi untuk buat karya kecil dan sebagainya,” ujarnya.
Dahiri berkata, beliau kemudiannya mendapatkan pembiayaan melalui saluran lain bagi menerbitkan karya drama Ngayau, yang menurutnya mempunyai pengalaman permohonan yang berbeza.
Pengalaman tersebut, jelasnya, menunjukkan penggiat seni turut memerlukan saluran pembiayaan yang mengambil kira skala dan bentuk projek yang diusahakan.
Beliau berharap pengurusan dana industri kreatif dapat diperkemas menerusi tatacara yang lebih mudah dan telus supaya pembiayaan tersebut dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan oleh penggiat seni, termasuk mereka yang mengusahakan projek secara kecil-kecilan.
Daripada sudut penggiat, persoalan mengenai rendahnya permohonan bukan semata-mata berkisar kepada jumlah dana yang tersedia, tetapi juga sejauh mana peluang tersebut diketahui, difahami dan boleh diakses oleh golongan yang memerlukannya.
Dengan memperluaskan hebahan, menyediakan bimbingan serta memastikan proses permohonan lebih mudah difahami, peluang pembiayaan yang tersedia berpotensi dimanfaatkan oleh kelompok penggiat yang lebih luas.
Oleh Adele Rissa





