SARATOK: Seorang wanita tempatan berusia 33 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes pecah amanah membabitkan kerugian dianggarkan kira-kira RM179,000 di sebuah kedai optik di Saratok.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, berkata wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Saratok, semalam.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan pecah amanah oleh pekerja.
“Kes ini terbongkar pada Jun 2026 ketika pengadu yang menjaga kedai berkenaan didatangi seorang pelanggan lelaki yang mahu mengambil cermin mata yang telah ditempah.
“Pemeriksaan mendapati bayaran bagi cermin mata berkenaan sepatutnya telah dibuat, namun rekod resit kedai masih menunjukkan baki bayaran,” katanya dalam satu kenyataan.
DSP Mathew berkata, keadaan itu menimbulkan kecurigaan pengadu sebelum pemeriksaan lanjut terhadap bil dan rekod jualan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat perbezaan nilai pada bil dan resit yang dipercayai menyebabkan kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar RM179,000,” katanya.
Katanya, pengadu kemudian mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan oleh pekerjanya berikutan wanita berkenaan merupakan individu yang bekerja di kedai dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi premis berkenaan.
“Pengadu sebelum ini turut pernah membuat laporan sebagai peringatan selepas pekerja berkenaan mengaku menggunakan wang kedai untuk kegunaan peribadi serta berjanji untuk mendapatkan pinjaman bagi membayar semula wang berkenaan.
“Bagaimanapun, sehingga kini bayaran ganti rugi tersebut masih gagal dilakukan, menyebabkan pengadu membuat laporan baharu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak polis,” katanya.
Suspek kini ditahan dan ditempatkan di Lokap Balai Polis Saratok bagi tindakan serta siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan tindakan terhadap pekerja yang melakukan pecah amanah terhadap harta yang diamanahkan kepadanya.
Oleh Adi Safarman





