SARATOK: Transformasi sektor pertanian menerusi penggunaan teknologi pintar, pendigitalan pasaran dan pengkomersialan perlu dipergiat bagi memastikan Sarawak mampu merealisasikan sasaran menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, sektor pertanian kini tidak lagi boleh dilihat sebagai sektor tradisional semata-mata, sebaliknya menjadi antara bidang strategik dalam menghadapi cabaran keterjaminan makanan di peringkat global.
Menurutnya, perubahan iklim dan ketegangan geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan makanan dunia membuktikan pentingnya sesebuah negara dan wilayah memperkukuh keupayaan pengeluaran makanan sendiri.
“Melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak telah meletakkan sasaran yang jelas untuk mentransformasikan sektor pertanian ke arah komersialisasi dan seterusnya menjadi pengeksport bersih makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Anugerah Jejak Dinamik 2026 Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kalaka Saribas Betong di Dewan Serbaguna IADA Kalaka Saribas Betong, di sini, semalam.
Mohamad Duri berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi keluasan tanah, sumber air serta tenaga manusia yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan pengeluaran makanan dan menjana pendapatan masyarakat luar bandar.
Justeru katanya, petani perlu didorong untuk mengembangkan aktiviti pertanian daripada skala kecil kepada perusahaan komersial yang mampu menghasilkan produk bernilai tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pendekatan pertanian juga perlu berubah selaras perkembangan teknologi, termasuk menerusi penggunaan Pertanian Pintar (Smart Farming) dan teknologi Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan kecekapan serta ketepatan pengeluaran.
Katanya, perkembangan itu dapat dilihat menerusi penglibatan peserta IADA Kalaka Saribas Betong yang mula mengadaptasi teknologi seperti fertigasi pintar, akuakultur, teknologi ternakan moden serta pemprosesan produk Industri Asas Tani (IAT) yang menepati piawaian.
“Langkah seterusnya adalah pendigitalan pasaran. Ekonomi digital bukan hanya untuk sektor korporat di bandar, tetapi turut perlu dimanfaatkan oleh usahawan tani di luar bandar.
“Produk dari Saratok atau Kalaka mesti mampu menggunakan platform e-dagang untuk menembusi pasaran seluruh Malaysia dan seterusnya pasaran antarabangsa,” katanya.


MOHAMAD Duri menyampaikan anugerah kepada salah seorang daripada 23 usahawan tani pada Hari Anugerah Jejak Dinamik 2026 IADA Kalaka Saribas Betong, semalam. Foto IADA Kalaka Saribas Betong
Pada majlis itu, seramai 23 usahawan tani menerima anugerah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta sumbangan mereka dalam sektor pertanian.
Mohamad Duri turut menyambut baik kriteria penilaian anugerah yang mengambil kira impak sosioekonomi peserta terhadap komuniti, kerana kejayaan dalam sektor pertanian bukan sekadar berkaitan peningkatan pendapatan tetapi turut berupaya melahirkan pemimpin masyarakat.
Beliau menyeru penerima anugerah yang telah berjaya supaya berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan komuniti setempat, khususnya golongan muda, melalui pendekatan ‘mentor-mentee’.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memastikan manfaat pembangunan sektor pertanian dapat dirasai secara lebih meluas serta membantu mengukuhkan ekonomi masyarakat luar bandar.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Buku IKON TANI: Profil Peserta Cemerlang IADA Kalaka Saribas Betong yang menghimpunkan kisah kejayaan usahawan tani tempatan.
Mohamad Duri berkata, penerbitan buku berkenaan bukan sahaja menjadi dokumentasi pencapaian peserta, malah boleh dijadikan sumber inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya dan perniagaan masa depan.
“Khusus kepada generasi muda, Sarawak memerlukan tenaga muda yang celik teknologi, inovatif dan berani mengambil risiko untuk memacu pertanian pintar.
“Sektor pertanian adalah sektor masa depan. Gunakanlah kisah dalam Buku Ikon Tani ini sebagai inspirasi untuk membina perniagaan tani masing-masing,” katanya.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada pengurusan dan seluruh warga kerja IADA Kalaka Saribas Betong atas komitmen membimbing serta memperkasa usahawan tani di kawasan berkenaan.
Beliau turut menggesa golongan usahawan tani supaya terus meningkatkan pengeluaran dengan memanfaatkan sokongan kerajaan, termasuk projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Oleh Adi Safarman





