BANJARMASIN: Pasukan penyelamat Indonesia membawa hampir dua dozen mangsa yang terselamat dari sebuah kapal penumpang yang karam di perairan Pulau Jawa pada hujung minggu, selepas operasi pemindahan mereka tertangguh akibat cuaca buruk, kata pihak berkuasa.
Puluhan mangsa masih belum ditemui, tiga hari selepas kapal Virgo Transport 8 yang membawa 213 penumpang dan 30 anak kapal karam pada awal Ahad.
Agensi Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) dalam kenyataan pada Selasa berkata enam orang maut, manakala 108 berjaya diselamatkan dan 129 lagi masih hilang. Jumlah kematian dan mangsa yang hilang kekal tidak berubah sejak Ahad.

Feri berkenaan terputus hubungan dengan syarikat perkapalannya sejurus selepas bertolak dari Surabaya, bandar kedua terbesar Indonesia di Pulau Jawa, menuju Banjarmasin di Pulau Borneo.
Rakaman yang dikeluarkan agensi penyelamat pada Isnin menunjukkan kapal yang terbalik dengan sebahagian badannya kelihatan di atas permukaan air.
Basarnas berkata, 22 mangsa yang terselamat dibawa ke sebuah pelabuhan di Banjarmasin pada Selasa selepas cuaca buruk menghalang usaha menyelamat mereka sehari sebelumnya.
“Rancangannya adalah untuk memindahkan mereka ke Pelabuhan Trisakti semalam, tetapi keadaan cuaca buruk menghalang kami daripada berbuat demikian,” kata Ketua Agensi Pencarian dan Pertolongan tempatan, I Putu Sudayana, kepada pemberita.
“Kami tidak boleh melawan alam, ombak dan gelombang di kawasan itu sangat tinggi.”
Basarnas berkata, empat mayat turut diterbangkan ke Banjarmasin.
Hampir 1,100 anggota penyelamat, termasuk daripada tentera laut dan polis, terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu, yang turut disokong lebih sedozen kapal dan lima pesawat, menurut agensi berkenaan.
Kemalangan maritim kerap berlaku di Indonesia, negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan sangat bergantung kepada perhubungan menggunakan bot bagi pengangkutan harian serta kegiatan pelancongan.
Standard keselamatan yang longgar dan keadaan cuaca yang sukar dijangka merupakan antara punca utama berlakunya tragedi berkenaan. – AFP




