SARATOK: Seramai 82 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Temenggong Tanduk berpeluang menimba ilmu berkaitan keselamatan dan kesiapsiagaan menerusi Program Karnival Kita Generasi MADANI yang berlangsung semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya memenuhi jemputan sekolah berkenaan untuk menyampaikan ceramah serta pengisian yang memberi pendedahan secara teori dan praktikal kepada warga sekolah.
Menurutnya, program tersebut turut melibatkan 21 guru dan staf sekolah dalam usaha meningkatkan pengetahuan mengenai aspek keselamatan serta tindakan awal ketika berdepan situasi kecemasan.
“Antara pengisian yang disampaikan anggota APM ialah pengenalan kepada APM, asas kawad kaki, pertolongan cemas serta pengenalan ular menerusi tayangan video dan pameran,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan teori dan praktikal itu dapat membantu pelajar memahami kepentingan bertindak dengan betul dan pantas sekiranya berlaku kecemasan.
Selain menambah pengetahuan, aktiviti berkenaan turut memberi peluang kepada pelajar mengenali dengan lebih dekat peranan APM dalam membantu masyarakat ketika berdepan bencana dan situasi kecemasan.
Program yang berlangsung dalam suasana interaktif itu mendapat sambutan baik daripada warga sekolah, sekali gus menunjukkan minat pelajar terhadap aspek keselamatan dan kesiapsiagaan.
Nur Athirah berkata, penglibatan APM dalam program pendidikan seperti itu penting dalam membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap risiko di sekeliling mereka.

Katanya, pendedahan awal mengenai pertolongan cemas juga dapat memberi kemahiran berguna kepada pelajar untuk membantu diri sendiri atau orang lain sebelum mendapatkan bantuan profesional.
APM Saratok akan terus menyokong program pendidikan dan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti, khususnya dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan awam.
Usaha berterusan itu selaras dengan peranan APM dalam menyemai budaya keselamatan serta membentuk masyarakat yang lebih berpengetahuan, berdisiplin dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Oleh Adi Safarman




