Dua kampung di Spaoh terima naik taraf jalan, sistem perparitan

Facebook
WhatsApp
MAJLIS ringkas penyerahan projek naik taraf jalan dan sistem perparitan di Kampung Lot Penggan dan Kampung Hulu Spaoh, hari ini. Foto: Douglas Uggah Embas Official

SPAOH: Dua buah kampung di Spaoh bakal menikmati kemudahan asas lebih selesa apabila projek naik taraf jalan dan sistem perparitan bernilai keseluruhan RM300,000 mula dilaksanakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Projek berkenaan membabitkan naik taraf jalan dan parit di Kampung Lot Penggan bernilai RM100,000, manakala Kampung Hulu Spaoh menerima projek pembinaan baharu sistem perparitan bernilai RM200,000.

Di Kampung Lot Penggan, kerja naik taraf dijangka memperbaiki keadaan laluan kampung selain membantu melancarkan aliran air di kawasan berkenaan.

SIAP… Projek menaik taraf jalan dan sistem perparitan di Kampung Lot Penggan dan Kampung Hulu Spaoh diserahkan menerusi satu majlis ringkas, hari ini. Foto: Douglas Uggah Embas Official

Sementara itu, pembinaan sistem perparitan baharu di Kampung Hulu Spaoh akan memberi penyelesaian lebih baik terhadap keperluan saliran penduduk setempat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kedua-dua projek memberi tumpuan kepada keperluan asas yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat.

“Bila jalan kampung berada dalam keadaan baik dan sistem perparitan dapat berfungsi dengan sempurna, banyak urusan penduduk menjadi lebih mudah.

“Ini juga membantu memastikan kawasan kampung lebih teratur dan selesa,” katanya dalam satu kenytaaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata pelaksanaan projek perlu mengambil kira keadaan dan keperluan setempat bagi memastikan manfaatnya benar-benar dirasai penduduk.

“Kita mahu setiap projek yang dilaksanakan mempunyai manfaat yang jelas kepada penduduk. 

“Sebab itu kita lihat keperluan di setiap kawasan dan cuba beri keutamaan kepada perkara yang boleh membantu kehidupan mereka,” katanya.

Kedua-dua projek dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong selaku agensi pelaksana, dengan kerja-kerja perlu mengikut skop serta spesifikasi yang ditetapkan.

Dalam sesi sama, kontraktor turut diberi taklimat mengenai skop pelaksanaan dan keperluan kerja selain diingatkan supaya mematuhi jadual serta spesifikasi ditetapkan.

Mohamad Deris dan Abas Di turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Douglas Uggah serta kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan RTP berkenaan.

Pelaksanaan dua projek itu dijangka memperkukuh kemudahan asas di kedua-dua kampung, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih selesa, teratur dan mesra penduduk.

Sesi serah tapak mula hari ini turut dihadiri wakil JPS Bahagian Betong, Rosli Tila; Ketua Kaum Kampung Lot Penggan, Mohamad Deris; Ketua Kaum Kampung Hulu Spaoh, Abas Di; wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban serta wakil kontraktor Masa Bina Enterprise dan Syarikat Anisa Jaya.

Oleh Adi Safarman