MALUDAM: Sebanyak 16 kes denggi dilaporkan di kawasan Maludam, mendorong pelaksanaan gerakan gotong-royong secara besar-besaran bagi membendung penularan wabak berkenaan serta melindungi kesihatan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata usaha menangani wabak denggi memerlukan tindakan segera serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.
Menurutnya, berdasarkan laporan Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) dalam Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Gotong-Royong Membanteras Denggi pada 11 September lalu, sebanyak 16 kes telah direkodkan.
Daripada jumlah itu, sembilan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital telah dibenarkan keluar selepas keadaan mereka bertambah baik, manakala pesakit lain masih menerima rawatan di klinik.
Sehubungan itu, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Hulu Sungai Maludam dilaksanakan sebagai antara langkah penting bagi menghapuskan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Dayang Noorazah berkata, usaha membanteras denggi tidak boleh hanya bergantung pada tindakan pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan daripada seluruh komuniti.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kawasan kampung sentiasa bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Usaha berkenaan turut disusuli dengan taklimat berkaitan wabak denggi yang diadakan hari ini di Dewan Serbaguna Maludam bagi meningkatkan kesedaran penduduk mengenai langkah pencegahan dan kawalan denggi.
Gotong-royong membersihkan kawasan kampung pula akan diteruskan esok dengan penglibatan pihak PKB, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Maludam serta penduduk setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi yang turun padang, termasuk PKB dan JKKK Maludam, serta penduduk kampung atas kerjasama dan komitmen dalam usaha menangani penularan wabak tersebut.


SAMPAH bertakung dan kawasan yang tidak terurus boleh menjadi tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes. Penduduk Maludam diseru menjaga kebersihan persekitaran bagi membantu membendung penularan denggi yang kini merekodkan 16 kes. Foto ADUN Lingga
“Kebersihan kampung ialah tanggungjawab bersama. Usaha ini perlu disokong oleh setiap isi rumah dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada agensi kerajaan,” katanya.
Beliau turut menyeru penduduk supaya tidak membuang sampah merata-rata serta memastikan halaman rumah dan kawasan sekitar sentiasa bersih bagi mengurangkan risiko pembiakan nyamuk Aedes.
“Marilah kita bersama-sama memastikan Maludam bersih demi kesejahteraan keluarga dan seluruh komuniti,” katanya.
Oleh Adi Safarman



