SEBUYAU: Perbincangan berhubung jaringan perbankan di kawasan luar bandar mendapat sambutan baik daripada Kerajaan Sarawak, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurutnya, perbincangan tersebut juga telah diadakan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu masyarakat menikmati kemudahan perbankan yang lebih baik.
“Saya telah mengadakan perbincangan bersama-sama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung perkara itu dan saya menzahirkan penghargaan kepada beliau kerana menyambut baik usaha berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change di sini, baru-baru ini.
Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menambah, beliau kemudian turut mengadakan perbincangan bersama-sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menerusi perbincangan itu katanya, Datuk Amar Douglas Uggah memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak akan turut membantu memberikan kemudahan akses sambungan wifi menggunakan satelit di kawasan luar bandar.
“Ini bermakna dengan adanya akses satelit, kemudahan perbankan dapat menggunakan jaringan perkhidmatan wifi, internet dan sebagainya kelak.
“Selain itu, saya juga meminta agar Bank Rakyat membuat satu kajian semula untuk melihat dan mengenal pasti tempat tertentu di seluruh negara mengenai perkhidmatan ini,” katanya.
Jelas Wan Junaidi, disebabkan Sarawak dan Sabah mempunyai banyak kawasan terpencil dan luas, maka perhatian khusus diberikan kepada kedua-dua negeri tersebut supaya perkhidmatan perbankan dapat disampaikan ke luar bandar.
Sebagai contoh katanya, kawasan Sungai Asap mempunyai bilangan penduduk yang ramai khususnya membabitkan penduduk di kawasan kem pembalakan berdekatan.
“Saya dimaklumkan sekitar 15,000 penduduk kem pembalakan mempunyai sumber kewangan yang boleh disimpan di dalam bank.
“Justeru dengan adanya perkhidmatan ini akan membolehkan kita memanjangkan perkhidmatan perbankan ke seluruh kawasan luar bandar,” tambahnya.
Oleh SYAMIMI HUSNA