PANTU: Sebanyak 708 bekalan air bersih diagihkan kepada penduduk di empat rumah panjang di sekitar daerah ini yang terjejas akibat kemarau, hari ini.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sri Aman memaklumkan, agihan itu dilaksanakan bersama Pejabat Daerah Pantu, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT).
Menurutnya, bantuan berkenaan diserahkan kepada ketua rumah panjang masing-masing sebelum diagihkan kepada penduduk yang terjejas.

Daripada jumlah itu, Rumah Shim, Jaong Strap menerima 52 bekalan, manakala Rumah Munggu, Sungai Merah menerima 246 bekalan.
Rumah Stephen, Punggu Tapang pula menerima 120 bekalan, sementara Rumah Mary, Semawa Ili menerima jumlah tertinggi iaitu 290 bekalan.
Keseluruhannya, sebanyak 708 bekalan air bersih diagihkan bagi membantu memenuhi keperluan harian penduduk susulan keadaan kemarau yang menjejaskan bekalan air di kawasan terbabit.

Usaha menyalurkan bantuan akan diteruskan bagi memastikan keperluan asas dan kebajikan penduduk yang terjejas sentiasa diberi perhatian.
Kerjasama antara agensi terbabit turut memastikan proses penghantaran dan pengagihan bantuan dapat dilaksanakan secara teratur kepada komuniti yang memerlukan.



