JPJ Sarawak perketat penguatkuasaan di Jalan Kapit-Mujong

Facebook
WhatsApp
SEBUAH kenderaan perdagangan membawa jentera berat diperiksa dalam operasi penguatkuasaan JPJ Kapit. Foto JPJ Sarawak

KAPIT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak meneruskan operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Kapit-Mujong susulan aduan orang awam berhubung aktiviti lori balak di kawasan berkenaan.

JPJ Sarawak dalam kenyataan berkata, operasi menerusi Unit Operasi JPJ Kapit itu melibatkan Ops Gempur Kenderaan Perdagangan dan Ops Pemandu Warga Asing (PEWA).

Menurutnya, hasil rondaan dan pemantauan yang dijalankan, dua lori balak ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan, termasuk membawa muatan secara berbahaya, bunga tayar yang telah menipis serta kesalahan lain berkaitan aspek teknikal kenderaan.

ANGGOTA JPJ Kapit menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori balak dalam operasi di sekitar Jalan Kapit-Mujong. Foto JPJ Sarawak

Dalam operasi sama, tiga kenderaan turut ditahan selepas didapati dipandu oleh warga asing yang tidak memiliki lesen memandu yang sah.

JPJ Sarawak memaklumkan tindakan telah diambil terhadap semua kesalahan yang dikesan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Pada masa sama, jabatan itu menghargai kerjasama masyarakat dalam menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan kesalahan jalan raya.

Menurutnya, maklumat daripada orang awam membantu pihaknya menjalankan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan, khususnya di lokasi yang dikenal pasti.

ANTARA kenderaan yang ditahan JPJ Kapit dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di sekitar Jalan Kapit-Mujong. Foto JPJ Sarawak

JPJ Sarawak menegaskan aspek keselamatan jalan raya diberi perhatian serius dan pemantauan serta penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Langkah itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan, selain menjamin keselamatan semua pihak.