Curi tangga aluminium, dua lelaki ditahan

Facebook
WhatsApp
DITAHAN...Suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

MIRI: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki mencuri sebuah tangga aluminium yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di sini pada 11 September lalu.

Kedua-dua suspek berusia 45 dan 42 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan oleh sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Pusat Miri.

Polis Daerah Miri menerusi hantaran di Facebook berkata, tangkapan dibuat hasil risikan dan maklumat awam berkaitan kejadian berkenaan.

PAKAIAN yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah turut dirampas.

Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki tidak dikenali mengambil tangga aluminium berkenaan kira-kira 3.00 petang sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan kedua-dua suspek di lokasi berasingan, masing-masing di Pujut 9 dan Desa Pujut Permy.

“Polis turut merampas pakaian yang dipercayai digunakan ketika kejadian serta sebuah motosikal bagi membantu siasatan,” menurut hantaran itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Oleh Liong Chai Ling