JPJ buka bidaan nombor siri H sempena Hari Malaysia Rabu ini

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Nombor pendaftaran kenderaan istimewa siri H sempena Hari Malaysia dibuka untuk bidaan mulai Rabu ini hingga 20 September, menawarkan angka 1 hingga 9999.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata bidaan boleh dibuat menerusi aplikasi JPJeBid manakala keputusan akan diumumkan pada 21 September ini.

Beliau berkata siri H istimewa kerana merupakan huruf tunggal terakhir yang akan ditawarkan oleh JPJ selain melambangkan keharmonian sempena sambutan Hari Malaysia.

“Nombor ini sangat istimewa dan orang ramai digesa mengambil peluang untuk mendapatkannya kerana selepas ini, tiada lagi huruf tunggal akan ditawarkan oleh JPJ,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran nombor siri berkenaan di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata penggunaan huruf H bagi siri berkenaan berbeza dengan pendaftaran teksi kerana bagi pengangkutan awam itu, ia perlu diiringi huruf pendaftaran negeri.

“Sebagai contoh, teksi di Perak didaftarkan dengan huruf HA kerana A merupakan huruf pendaftaran negeri itu,” katanya. – Bernama