Gallardo dilantik kendali Ecuador hingga Piala Dunia 2030

Facebook
WhatsApp
JURULATIH dari Argentina Marcelo Gallardo. Foto AFP

QUITO: Jurulatih dari Argentina Marcelo Gallardo dilantik sebagai pengendali skuad bola sepak kebangsaan Ecuador menerusi kontrak sehingga Piala Dunia FIFA 2030, menurut Persekutuan Bola Sepak Ecuador (FEF) semalam, lapor Xinhua.

Gallardo, 50, yang mencipta nama bersama River Plate, menggantikan Sebastian Beccacece yang meninggalkan pasukan selepas Ecuador tersingkir di tangan tuan rumah bersama Mexico pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia tahun ini.

“Kami memilih Marcelo Gallardo kerana pencapaiannya, namun lebih daripada itu kerana apa yang beliau wakili.

“Selamat datang ke Ecuador, Marcelo,” kata Presiden FEF Francisco Egas menerusi video yang dimuat naik di media sosial.

Bekas pemain tengah yang membuat 44 penampilan bersama Argentina itu dianggap antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah River Plate.

Beliau memenangi dua gelaran Copa Libertadores dan satu Copa Sudamericana dalam tempoh pertamanya mengendalikan kelab Buenos Aires itu dari 2014 hingga 2022, sebelum kembali untuk tempoh kedua dari 2024 hingga 2026 yang menyaksikan pencapaian trofi lebih sederhana.

Gallardo akan mengendalikan Ecuador buat kali pertama dalam perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan di Suwon pada 24 September. – Bernama