SEREMBAN: Jenazah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham dijangka dibawa pulang ke Negeri Sembilan esok untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang (Forest Heights) di sini selepas solat Asar.
Bapanya Bee Sham Ahmad, 59, berkata mengikut rancangan perjalanan diterima keluarga, jenazah dijadualkan dibawa pulang dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH2575 yang berlepas dari Lapangan Terbang Miri, Sarawak pada 12.10 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.30 petang.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Bandar Baru Senawang yang dijangkakan pada 4.30 petang manakala urusan pengebumian dijangkakan pada 5.30 petang,” katanya kepada Bernama hari ini.
Bee Sham berharap urusan membawa pulang dan pengebumian anaknya dipermudah serta berjalan lancar.
Zainol Afiq, 30, antara lima yang terkorban dalam nafas helikopter membawa pasukan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang terhempas dan terbakar berhampiran penghujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Ulu Baram pada Selasa lepas.
Nahas turut mengorbankan empat petugas kesihatan, iaitu Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu pegawai perubatan Alexson Adit Henry dan dua jururawat Jessie Paya Jok serta Debra Moset.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah memaklumkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kesemua mangsa telah diperoleh dan proses penyerahan jasad kepada ahli keluarga akan dilakukan hari ini. – Bernama





