KUCHING: Kebakaran sebuah kedai Ninso tiga tingkat di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini, awal pagi ini, memusnahkan keseluruhan tingkat satu dan kira-kira 80 peratus tingkat dua bangunan berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 3.42 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang tiba di lokasi pada 3.45 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kebakaran berlaku di tingkat dua dan tiga bangunan berkenaan, manakala tingkat bawah tidak terjejas.
“Anggaran keluasan bangunan yang terbakar ialah 40 x 80 kaki persegi. Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga nozel, selain bantuan sebuah jentera tangki air dari BBP Tabuan Jaya bagi membekalkan air susulan tekanan air rendah daripada pili bomba.
“Kerja-kerja pemadaman dijalankan secara ofensif dan defensif bagi mengawal kebakaran serta mengelakkan api merebak ke bahagian lain bangunan,” katanya.
Operasi membabitkan BBP Batu Lintang dengan bantuan BBP Padungan dan BBP Tabuan Jaya, melibatkan keseluruhan 20 anggota serta dua jentera Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT), sebuah Jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS)dan sebuah jentera tangki air.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal dan kerja-kerja pemadaman serta pemeriksaan masih dijalankan. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian.
Turut berada di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Oleh Adele Rissa





