Prestasi lima tahun jadi sandaran GPS hadapi PRN Sarawak – Uggah

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa merasmikan Bengkel Jentera Pentadbiran PRN DUN Mambong di Dewan Persatuan Biperoh, di sini, hari ini. Foto: Douglas Uggah Embas Official

PADAWAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) diyakini mampu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya di kawasan majoriti Dayak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang berkata prestasi kerajaan GPS sepanjang lima tahun lalu menjadi antara asas utama keyakinan berkenaan.

Menurutnya, pelbagai janji pembangunan yang dibuat kerajaan telah direalisasikan, manakala banyak projek masih giat dilaksanakan demi memastikan manfaatnya dirasai rakyat.

“Saya yakin kerana seperti yang saya tegaskan sebelum ini, sepanjang lima tahun lalu kita telah menunaikan janji dan merealisasikannya.

“Banyak projek pembangunan sedang berjalan dan rakyat sendiri merasakan faedahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Jentera Pentadbiran PRN DUN Mambong di Dewan Persatuan Biperoh, di sini, hari ini.

Uggah berkata, kepimpinan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut menjadi faktor penting dalam mengukuhkan keyakinan terhadap kemampuan gabungan itu menghadapi PRN akan datang.

Katanya, kepimpinan Premier Sarawak berjaya meneroka sumber kewangan baharu bagi membolehkan pelbagai agenda pembangunan dan janji kerajaan diterjemahkan kepada projek sebenar.

“Kepimpinan Premier menjadi faktor nombor satu kerana beliau berupaya menjana dana baharu untuk menunaikan janji menjadi kenyataan,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai status penyandang kerusi DUN kawasan Bidayuh dalam GPS bagi PRN akan datang, Uggah menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada Premier Sarawak.

“Perkara itu (soal calon) tanya dengan Premier Sarawak. Saya tidak dapat jawab,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Uggah menyatakan kepuasan terhadap prestasi wakil rakyat GPS di kawasan Bidayuh yang disifatkannya sangat cemerlang dalam membawa pembangunan di kawasan masing-masing.

Katanya, penglibatan aktif wakil rakyat dalam menjayakan pelbagai projek pembangunan, termasuk menerusi Agensi Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), turut membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

Bagi DUN Mambong pula, Uggah optimis GPS bukan sahaja mampu mempertahankan kerusi berkenaan, malah berpotensi mencatat kemenangan dengan majoriti lebih besar pada PRN akan datang.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua jawatankuasa kerja PBB dan GPS di peringkat ranting serta cawangan supaya terus memperkemas gerak kerja dan meningkatkan khidmat kepada rakyat.

Menurutnya, pendekatan mendekati rakyat secara berterusan serta memastikan agenda pembangunan terus dilaksanakan menjadi asas penting dalam mengekalkan sokongan terhadap GPS menjelang PRN akan datang.

Turut hadir Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil.

Oleh Adi Safarman

AZAM-IPRM buka laluan tubuh IPRM Sarawak Chapter

KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dan Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh profesionalisme serta