PADAWAN: Kerajaan Sarawak mengarahkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Water Berhad melaksanakan langkah penyelesaian jangka pendek dengan segera bagi menangani gangguan bekalan air di beberapa kawasan akibat cuaca panas dan kering berpanjangan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata langkah itu penting bagi memastikan penduduk yang terjejas terus mendapat bekalan air, khususnya di kawasan yang mengalami penyusutan sumber air.
Menurutnya, Premier Sarawak telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu berkenaan dan mengarahkan agensi berkaitan mengambil tindakan segera.
“Premier telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan masalah air di Sarawak dan JBALB serta Sarawak Water diminta melaksanakan mekanisme jangka pendek bagi memastikan bekalan air terus dapat disediakan.
“Pada masa sama, agensi berkaitan turut menyediakan bekalan air ke kawasan yang tidak dapat menerima bekalan melalui sistem sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Jentera Pentadbiran Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong di Kampung Gerung, di sini, hari ini.
Uggah berkata, kerajaan Sarawak turut menetapkan sasaran supaya penghantaran bekalan air kepada penduduk yang memerlukan dapat dilaksanakan dalam tempoh 12 jam selepas permohonan diterima.
Bagi mempercepatkan tindakan, proses permohonan bekalan air juga akan dipermudah supaya bantuan dapat disalurkan kepada kawasan terjejas dalam tempoh lebih singkat.
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu menyediakan bekalan air minuman dalam botol kepada penduduk di kawasan yang tidak menerima bekalan daripada JBALB.
Dalam perkembangan sama, Uggah berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) perlu diteruskan secepat mungkin apabila keadaan atmosfera mengizinkan bagi membantu meningkatkan paras air di kawasan tadahan dan empangan.
Katanya, langkah itu amat penting bagi menambah semula simpanan air, terutama menjelang kemungkinan cuaca lebih kering pada Oktober.
“Permintaan kami adalah secepat mungkin supaya penyimpanan air dan empangan dapat dipulihkan secepat mungkin, terutama bagi menghadapi kemungkinan cuaca kering pada Oktober.
“Kita perlu memastikan penyimpanan air dan sebagainya diisi melalui hujan,” katanya.
Beliau berkata beberapa kawasan termasuk Murum dan Batang Ai dilaporkan menerima hujan, namun kesannya terhadap sumber air masih perlu dinilai.
Antara kawasan yang dilaporkan mengalami gangguan bekalan air ialah Betong, Serian dan Miri, khususnya penempatan rumah panjang yang bergantung kepada sistem bekalan air graviti.
Uggah berkata tindakan awal perlu diambil berikutan unjuran keadaan lebih panas pada Oktober, dengan agensi berkaitan kini giat mencari penyelesaian segera bagi memastikan keperluan asas penduduk tidak terjejas.
Oleh Adi Safarman



