SIMANGGANG: Rakyat Sarawak diseru supaya terus teguh berdiri bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan agenda pembangunan dan kemajuan negeri dapat diteruskan demi kesejahteraan seluruh rakyat.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, kesatuan dan sokongan rakyat amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan Sarawak dapat dipertahankan, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) yang dijangka tidak lama lagi.
Beliau berkata, semua pihak perlu sentiasa bersiap siaga menghadapi PRN13 memandangkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir pada 14 Februari 2027.
“Walau apa pun perkembangan yang berlaku, saya menggesa semua agar terus teguh berdiri bersama GPS, demi memastikan agenda pembangunan dan kemajuan Sarawak dapat diteruskan untuk kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kursus Motivasi Kepimpinan Keluarga anjuran KEMAS Bahagian Sri Aman di Rumah Simon Chelaring, Kampung Radau, Undop, hari ini.
Doris turut memuji inisiatif Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menganjurkan program berkenaan yang disifatkan amat baik dan bermanfaat dalam meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat mengenai pentingnya kepimpinan dalam institusi keluarga.
Menurutnya, setiap anggota keluarga perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam membentuk keluarga yang harmoni, saling menghormati serta mempunyai nilai kekeluargaan yang kukuh.
“Keluarga yang kuat merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang bersatu padu dan sejahtera,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa nilai kepimpinan, tanggungjawab dan sikap saling menghormati perlu dipupuk dari peringkat keluarga kerana institusi berkenaan menjadi asas penting kepada pembentukan masyarakat yang lebih stabil dan bersatu.
Turut hadir Pegawai KEMAS, Marinda Stewart; Penghulu Minging Sigan; Pegawai AADK Sri Aman, Shanadon Pinda dan Penolong Pegawai Kebajikan Sri Aman, Roslind Usin. Oleh Adi Safarman




