SEMPORNA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia memberikan bantuan kaunseling kepada ahli keluarga mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya sentiasa bersedia memberikan bantuan itu, namun pada masa yang sama keluarga mangsa perlu diberikan masa untuk mendepani kejadian itu terlebih dahulu.
“Seperti biasa memang kami sudah bersiap sedia dari segi kaunseling sebab bila kita nak memberi kaunseling ini kita sendiri perlu bersedia, perkara ini bukan perkara yang mudah.
“Hal ini melibatkan nyawa dan keluarga dalam keadaan yang begitu hiba, sedih, jadi kaunselor itu adalah yang betul-betul memahami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan Semporna: Advokasi Anti Gangguan Seksual (AAGS) dan Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) di sini hari ini.
Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang.
Nahas helikopter itu berlaku ketika pesawat berkenaan membawa pasukan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. – Bernama




