KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu laporan rasmi berhubung keputusan hasil bedah siasat terhadap lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya masih menunggu pengesahan rasmi berhubung perkara itu, sebelum penerangan lanjut dibuat kepada umum.
“Secepat mungkin, kita dapat semua secara rasmi, Datuk Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Mahathar Abd Wahab) akan buat penerangan dan saya sendiri sedang menunggu.
“Walaupun sudah kedengaran, tapi kita belum dapat satu sifatnya yang rasmi,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Dr Mahathar.
Sementara itu, Dr Mahathar berkata Pesuruhjaya Polis Sarawak telah menjelaskan tatacara dan proses berkaitan bedah siasat menerusi kenyataan semalam, namun pihaknya masih menunggu pengumuman lanjut berhubung perkara itu.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan lima jasad mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter itu, telah berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian dan diterbangkan dari Long Lellang ke Miri untuk tujuan bedah siasat serta proses berkaitan. – Bernama





