KUCHING: Sebanyak 13 daripada 20 stesen pemantauan kualiti udara di Sarawak merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 12.00 tengah hari ini.
Berdasarkan bacaan terkini, Sarikei mencatat IPU tertinggi iaitu 191, diikuti Lundu (184), Serian (182), Samarahan (176) dan Kuching (169).
Kawasan lain yang berada pada tahap tidak sihat ialah Samalaju dengan bacaan 166, Lubok Antu (162), Betong (159), Sri Aman dan Tebedu masing-masing (157), Sibu (156) serta Mukah dan Kanowit masing-masing (154).
Sementara itu, tujuh stesen merekodkan bacaan sederhana dengan Bintulu mencatat 97, ILP Miri (82), Miri (77), Kapit (76), Lawas (74), Limbang (65) dan Bario (62).
Tiada stesen di Sarawak merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat, berbahaya atau sangat berbahaya pada waktu berkenaan.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, manakala 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat.
Bacaan antara 301 hingga 400 pula dikategorikan berbahaya, manakala bacaan melebihi paras itu berada dalam kategori sangat berbahaya.
Oleh Norman B





