KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu meneroka potensi biodiversiti negeri itu sebagai sumber penyelidikan dalam bidang perubatan regeneratif, khususnya kajian berkaitan keupayaan memulihkan atau menjana semula sel manusia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bidang berkenaan dilihat sebagai satu cabang baharu dalam sains perubatan yang wajar diterokai menerusi penyelidikan saintifik dan kepakaran profesional.
Menurutnya, beliau telah meminta penyelidik mengkaji potensi perubatan regeneratif, termasuk kemungkinan menggunakan sumber berasaskan biologi yang terdapat dalam biodiversiti Sarawak.
“Kerana sebenarnya bila kita tua, sel kita tua. Tetapi teknologi baharu boleh menjana semula sel itu. Jadi mudalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains, Kesihatan, Inovasi, dan Kejuruteraan (SHInE) Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, bagaimanapun, kajian berkaitan tindak balas sel dan mekanisme penjanaan semula perlu dilaksanakan secara saintifik dengan penglibatan pakar dalam bidang perubatan dan sains.
Beliau berkata, penyelidikan itu turut didorong oleh persoalan mengenai faktor yang mempengaruhi jangka hayat manusia pada zaman dahulu, termasuk dakwaan bahawa pemakanan yang kurang diproses mungkin mempunyai kaitan dengan kesihatan dan jangka hayat.
“Saya bukan saintis, tetapi sebab itu saya minta mereka buat kajian mengenainya. Kenapa pada zaman dahulu orang boleh hidup lebih lama?” katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai kelebihan besar dalam penyelidikan berkenaan kerana kekayaan biodiversitinya yang boleh menjadi sumber kepada pelbagai kajian saintifik.
Katanya, daripada kira-kira 748,000 kilometer persegi keluasan daratan Borneo, lebih 400,000 kilometer persegi masih diliputi hutan, termasuk kawasan hutan belum diterokai.
“Sarawak sendiri mempunyai keluasan daratan kira-kira 124,000 kilometer persegi, dengan 62 peratus masih diliputi hutan.
“Jadi kita mempunyai biodiversiti yang kaya dan kita boleh melakukan banyak penyelidikan,” katanya.
Menurutnya, kelebihan sumber semula jadi itu perlu digabungkan dengan pembangunan bakat tempatan bagi membolehkan Sarawak bekerjasama dengan saintis antarabangsa dalam meneroka bidang perubatan regeneratif.
Beliau berkata, berbanding negara yang mempunyai kemajuan besar dalam penyelidikan tetapi terhad dari segi sumber biodiversiti, Sarawak mempunyai peluang untuk menggabungkan kedua-dua aspek berkenaan.
“Jadi apa yang kita lakukan ialah kita bekerjasama. Kita mempunyai bahan atau sumbernya, tetapi kita juga perlu membangunkan bakat kita,” katanya.
Abang Johari berkata, usaha berkenaan masih pada peringkat penerokaan dan memerlukan kajian lanjut oleh saintis bagi menentukan potensi sebenar biodiversiti Sarawak dalam pembangunan perubatan regeneratif.
Oleh Shahrul Qaizat


