Inkues: Penilaian terhadap ibu Zara Qairina tidak diperlukan untuk autopsi psikologi

Facebook
WhatsApp

KOTA KINABALU: Pakar perunding psikiatri forensik Dr Chua Sze Hung hari ini memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa penilaian terhadap ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak perlu dilakukan dalam konteks dan rangka kerja autopsi psikologi.

Beliau berkata tumpuan seharusnya diberikan untuk membantu mahkamah dalam menentukan punca dan cara kematian pelajar Tingkatan Satu itu, dengan autopsi psikologi menjadi pendekatan yang wajar digunakan.

Dr Chua, yang dipanggil semula untuk memberi keterangan, menjelaskan bahawa penilaian terhadap ibu bapa mangsa bukanlah pengganti klinikal atau metodologi yang tepat bagi penilaian retrospektif keadaan mental remaja yang telah meninggal dunia.

“Dalam psikiatri forensik, cubaan untuk menukar tempat kedua-duanya adalah kesilapan dari segi kategori. Satu ketidakpadanan klinikal yang bercampur aduk dengan dua subjek, garis masa dan realiti psikologi yang berlainan. Kedua-duanya adalah subjek klinikal yang berbeza,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Nahra Dollah.

Beliau berkata penilaian terhadap ibu memfokus kepada keadaan klinikal semasa wanita itu dan bukannya menilai secara retrospektif keadaan mental si mati.

Dr Chua, yang sebelum ini memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina pada April, berkata diagnosis psikiatri secara keratan rentas atau penentuan bahawa keadaan mental si ibu yang tidak mengalami sebarang gangguan mental ketika ini tidak banyak membantu dalam memahami beban gejala yang didepani remaja itu serta niat terakhirnya untuk membunuh diri.

“Literasi forensik memberi amaran bahawa individu yang masih hidup dalam inkues kematian boleh menjadi pihak berkepentingan dan ingatan mereka mungkin dipengaruhi perasaan bersalah, marah atau rasa malu.

“Diari ditulis oleh remaja itu sendiri, yang mendokumentasikan pelbagai kesulitan yang didepani, adalah data sebelum kematian paling penting dan tidak tercemar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penilaian psikiatri klinikal bukan bermaksud dilakukan secara retrospektif atau bagi menentukan cara kematian seseorang.

“Saya berpegang kepada kesimpulan bahawa cara kematiannya adalah konsisten dengan bunuh diri.

“Saya dengan rendah hati berhujah bahawa mahkamah berhak dan mempunyai bidang kuasa untuk menentukan cara kematian secara mutlak manakala pandangan saya kekal sebagai pendapat pakar berdasarkan imbangan kebarangkalian,” katanya.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4.00 pagi.

Prosiding inkues bersambung esok.- Bernama