PETRA JAYA: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menerima kunjungan delegasi Majlis Perniagaan AS ASEAN yang terdiri daripada wakil beberapa syarikat Amerika Syarikat (AS) di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, di sini, semalam.
Pertemuan itu membincangkan perkembangan sektor pengangkutan Sarawak serta potensi kerjasama dalam bidang teknologi, kelestarian, penyelidikan, inovasi dan tanggungjawab sosial korporat.
Lee turut berkongsi usaha Sarawak memperkukuh kesalinghubungan dan memodenkan sistem pengangkutan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Antara perkembangan yang dibincangkan termasuk AirBorneo dan usaha memperkukuh hubungan udara domestik serta serantau, selain perancangan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang bagi menampung pertumbuhan masa depan.
Beliau turut memberi perkembangan mengenai Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan Transit Aliran Automasi (ART) sebagai sebahagian usaha Sarawak membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih moden dan mampan.
Perbincangan turut meliputi cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu, pengembangan dan naik taraf Lapangan Terbang Miri serta lapangan terbang lain di Sarawak, selain penambahbaikan infrastruktur logistik dan pengangkutan kargo.
Delegasi itu turut diwakili syarikat AS termasuk Bitdeer, Thermo Fisher Scientific, Philip Morris dan Coca-Cola dengan kepakaran dalam pembangunan semikonduktor dan pusat data, sains dan teknologi, penyelidikan serta pembangunan, kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial korporat.
Lee mengalu-alukan minat syarikat berkenaan terhadap pembangunan Sarawak serta peranan Majlis Perniagaan AS ASEAN dalam menghubungkan syarikat AS dengan Sarawak bagi meneroka potensi kerjasama.




