Hanifah tinjau keperluan kesihatan, cadangan hospital baharu Marudi diberi perhatian

Facebook
WhatsApp
DATO Hajjah Hanifah Hajar Taib bergambar bersama jururawat Hospital Marudi. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib mengadakan lawatan kerja ke Hospital Marudi sempena Jelajah Kesihatan Borneo, hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau turut berkesempatan mengunjungi beberapa bahagian dan fasiliti di hospital berkenaan, antaranya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Marudi, Klinik Kesihatan (KK) dan Klinik Pergigian (KP).

DATO Hajjah Hanifah Hajar Taib menandatangani buku lawatan di Hospital Marudi. Foto Jiku Juguong

Beliau turut meninjau fasiliti dan kemudahan sedia ada, selain melihat sendiri pengoperasian perkhidmatan kesihatan serta mendengar penerangan daripada pegawai setiap bahagian mengenai cabaran yang dihadapi dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil.

DATO Hajjah Hanifah Hajar Taib merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan Hospital Marudi. Foto Jiku Juguong

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan pembinaan hospital baharu di Marudi, Hanifah berkata beliau dimaklumkan bahawa terdapat tapak yang telah dicadangkan bagi tujuan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, reka bentuk hospital perlu diselaraskan terlebih dahulu dan beberapa perkara lain perlu dibincangkan bersama pihak yang bertanggungjawab sebelum cadangan itu dapat dimuktamadkan.

Oleh Jiku Juguong