MELAKA: Sebanyak 17,053 syarikat melibatkan kira-kira 1.3 juta pekerja di seluruh negara telah berdaftar di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) sehingga kelmarin.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata, daripada jumlah itu, seramai 298,306 pekerja telah menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 manakala 28,596 pekerja telah lengkap menerima dos kedua sehingga kkelmarin.
“Vaksinasi adalah elemen yang sangat penting dalam pemulihan ekonomi negara dan kami berharap inisiatif pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) PIKAS dapat membantu mencapai sasaran vaksinasi penuh di seluruh negara menjelang Oktober.
“Kita juga berharap lebih banyak PPV PIKAS akan dibuka dalam masa terdekat agar proses pemberian vaksin kepada pekerja sektor industri dapat dipercepatkan,” katanya, kepada pemberita selepas melawat Common PPV PIKAS di Pusat Konvensyen Bayou di sini semalam.
Terdahulu, beliau menyertai lawatan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam. Turut sama dalam lawatan itu Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman.
Mengulas lanjut, Lim berkata, setakat ini sebanyak 12 Common PPV PIKAS dan 22 ‘on-site’ PPV sedang dan telah tamat menjalankan proses vaksinasi melibatkan warga industri di seluruh negara.
Beliau berkata, Common PPV PIKAS berperanan mengendalikan pemberian vaksin melibatkan lebih daripada satu syarikat manakala ‘on-site’ PPV dibuka khas untuk kilang yang mempunyai pekerja lebih daripada 1,000 orang.
— Bernama