KUCHING: Ketika kakinya melangkah masuk ke bilik asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa di Betong, kenangan di zaman persekolahannya menerjah ingatan Abang Jimmy Abang Mordian.
Pemandangan yang disaksikannya – katil, loker dan pelbagai kemudahan yang baru dinaik taraf – begitu jauh berbeza dengan bilik asrama yang pernah dihuninya puluhan tahun lalu sebagai pelajar Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah di Kuching.
Ketika itu, kehidupan di asrama adalah serba kekurangan dengan tilam senipis kertas, dan apabila hujan lebat, bilik akan basah akibat tempias menerusi kepingan kaca tingkap yang pecah. Nyamuk pula menjadi teman setia, sementara pakaian perlu disental dengan tangan kerana tidak ada mesin basuh.
“Saya amat memahami pengalaman dan cabaran yang dilalui pelajar (yang tinggal di asrama) kerana saya sendiri pernah mengalaminya,” kata beliau kepada Bernama.

Daripada seorang pelajar yang mengharungi pelbagai cabaran kehidupan di asrama demi mendapatkan pendidikan, Abang Jimmy, 50, kini menikmati hasil jerih perih itu.
Hari ini, beliau merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG), anak syarikat Petronas yang mengendalikan satu daripada kemudahan pengeluaran gas asli cecair (LNG) di bawah satu bumbung (single-site) terbesar dunia yang terletak di Bintulu, Sarawak.
Menamatkan pendidikan menengahnya puluhan tahun lalu, Abang Jimmy kini mempunyai kedudukan untuk menyumbang kepada masyarakat dan membawa perubahan. Beliau berada di SMK Pusa pada 23 Jun lepas bagi melancarkan program santun masyarakat “MLNG Bestari: Powering Knowledge”. Menerusi program itu, kumpulan MLNG menaik taraf empat blok asrama sekolah berkenaan, sekali gus menyediakan persekitaran tempat tinggal dan pembelajaran yang lebih kondusif buat pelajar.
Transformasi itu merangkumi penambahbaikan sistem pendawaian elektrik, pemasangan kipas siling dan jaring tingkap, selain penyediaan mesin basuh serta seterika bagi memenuhi keperluan harian pelajar.
Petronas turut menyumbang 300 buah katil, 300 unit tilam dan 300 buah loker. Kerja-kerja naik taraf yang bermula pada November 2025 itu siap pada Februari tahun ini.
PELUANG
Bagi Abang Jimmy, inisiatif itu menyentuh dirinya secara peribadi, membawa kembali ingatan yang, secara berseloroh, disifatkan beliau sebagai “satu bab menarik” dalam kehidupannya. Memori itu pastinya mengukuhkan lagi kepercayaan beliau bahawa setiap pelajar berhak mendapat persekitaran yang membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pembelajaran.
Mengimbas kembali zaman persekolahannya, Abang Jimmy berkata asrama menjadi rumah keduanya dari tingkatan satu hingga lima ketika menuntut di Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah.
Membesar di Kampung Melayu Tebakang, Serian – kira-kira 65 kilometer dari Kuching – dan mendapat pendidikan rendah di St Teresa Serian sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Serian, dunia Abang Jimmy ketika itu hanya berlegar-legar antara sekolah dan keluarga.
Namun, yang meninggalkan kesan mendalam padanya adalah situasi yang disaksikan di luar bilik darjah, apabila beliau melihat bagaimana keluarga, saudara-mara dan penduduk sekampung bergelut untuk meneruskan kehidupan. Kebanyakannya bergantung penuh pada sungai dan hutan sebagai sumber rezeki.
Satu imej yang kekal dalam ingatannya ialah bagaimana seekor ayam dikongsikan antara 10 hingga 15 ahli keluarga. Tidak ada satu pun bahagian ayam itu yang dibuang. Malah, kulit ayam itu digoreng dan disimpan sebagai snek untuk dimakan kemudian.
Pengalaman itu menyedarkannya bahawa pendidikan merupakan satu-satunya jalan menuju kehidupan yang lebih baik.
Ketika di sekolah menengah, Abang Jimmy tidak pernah membayangkan suatu hari nanti beliau akan melanjutkan pengajian di luar negara. Apatah lagi menjadi ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat. Ketika itu, matlamatnya hanyalah untuk mendapat tempat di universiti tempatan kerana beliau tahu ibu bapanya tidak mampu membiayai pengajiannya di luar negara.
Saban malam, beliau mengulang kaji pelajaran hingga 2 pagi dengan tekad memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Peluang datang mengetuk tidak lama kemudian.
Walaupun keputusan peperiksaan belum diumumkan, Abang Jimmy menerima tawaran biasiswa daripada dua syarikat minyak utama berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan SPM beliau. Satu daripadanya ialah Petronas yang menawarkan beliau peluang melanjutkan pengajian di Australia.
“(Pada awalnya) saya hanya mahu sambung belajar di Universiti Malaya,” katanya sambil tersenyum. “Saya tidak pernah terfikir akan ditawarkan peluang belajar di luar negara.”
Beliau menerima biasiswa Petronas itu tanpa menyedari peluang itu akan membuka lembaran perjalanan kerjaya luar biasa, yang akhirnya membawa beliau ke jawatan tertinggi dalam organisasi.

KEMUDAHAN ASRAMA BERTAMBAH BAIK, LEBIH RAMAI PELAJAR
Di SMK Pusa, jumlah pelajar yang menikmati kemudahan asrama yang ditambah baik itu kian meningkat. Daripada 205 orang tinggal di asrama pada 2025, bertambah kepada 230 orang tahun ini.
Kadar kedatangan pelajar turut meningkat secara konsisten, daripada 96.67 peratus pada 2025 kepada 97.85 peratus tahun ini.
Keputusan SPM 2025 pula merekodkan 100 peratus pelajar asrama layak menerima sijil dengan seorang daripada mereka muncul sebagai pelajar terbaik sekolah selepas memperoleh 8A.
Dalam pada itu, Abang Jimmy percaya nilai sebenar kehidupan di sekolah berasrama tidak terhad akademik semata-mata.
Menurutnya, hidup berjauhan daripada keluarga mengajar seseorang berdikari, tabah dan berdisiplin – sifat-sifat yang membentuk peribadi seseorang sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.
“Ilmu sahaja tidak mencukupi. Kehidupan di asrama juga membina sahsiah kita,” katanya.
Bagi Petronas, sokongan terhadap pendidikan adalah usahanya dalam mewujudkan peluang untuk golongan muda mengembangkan potensi dan membina keyakinan diri.
Bagi Abang Jimmy pula, usaha itu menyentuh peribadinya.
Tatkala berada di dalam bilik asrama itu, ingatan beliau kembali kepada waktu remajanya yang tidur di atas tilam nipis dan menelaah hingga awal pagi bertemankan nyamuk, bersandarkan keyakinan bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupannya.
Memang benar pendidikan mengubah kehidupannya, dan kini, dengan membantu pelajar SMK Pusa menjalani kehidupan dalam persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan selesa, Abang Jimmy berharap mereka juga akan menyedari perjalanan hebat tidak semestinya memerlukan permulaan yang hebat. – Bernama




