Operasi SAR nahas helikopter Long Lellang berdepan cabaran jerebu, status mangsa belum dipastikan

Facebook
WhatsApp
LOKASI kejadian helikopter yang terhempas di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang, Marudi petang tadi.

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima individu yang dipercayai berada dalam sebuah helikopter yang terhempas di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang, Marudi, petang tadi berdepan cabaran berikutan lokasi kejadian yang terpencil serta keadaan cuaca berjerebu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira 3.32 petang hari ini, manakala lokasi berkenaan mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan darat dari Marudi.

Menurutnya, bantuan udara juga belum dapat dilaksanakan berikutan keadaan berjerebu dan penerbangan dari Pangkalan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuching tidak mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Operasi mencari dan menyelamat pada masa kini bergantung kepada bantuan penduduk kampung, anggota RELA dan polis bantuan di Lapangan Terbang Long Lellang.

“Pasukan mencari dan menyelamat akan seberapa segera tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, maklumat awal mendapati terdapat lima individu dalam helikopter berkenaan, namun status kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan.

Helikopter terbabit dipercayai milik sebuah syarikat yang disewa bagi menyediakan perkhidmatan doktor udara di tiga lokasi, iaitu Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang, dari Miri.

Katanya, butiran penumpang yang terlibat akan disahkan kemudian.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi memberi ruang kepada siasatan lanjut bersama Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan.

Terdahulu, CAAM mengesahkan sebuah helikopter jenis BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang STOLport.

Menurut pihak berkuasa penerbangan itu, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi penerbangan perkhidmatan doktor udara semasa kejadian.