JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) sedang bersiap sedia menjalankan operasi pembenihan awan bagi membantu mengurangkan abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau yang merebak ke beberapa kawasan di Jakarta Raya, Banten dan Lampung, lapor Agensi Berita Antara.
Ketua BNPB Suharyanto pada Isnin berkata bahawa operasi itu akan dimulakan sebaik keadaan cuaca dan keselamatan penerbangan mengizinkan, memandangkan abu gunung berapi telah menjejaskan operasi di beberapa lapangan terbang.
“Apabila keadaan lebih sesuai, kami akan memulakan operasi. Pesawat sudah bersedia di Lapangan Terbang Pondok Cabe,” kata beliau.
Beliau berkata pembenihan awan merupakan antara langkah kerajaan untuk membantu membersihkan abu gunung berapi di atmosfera dengan merangsang hujan.
Selain itu, BNPB turut membuat persediaan untuk melaksanakan semburan kabus air bagi meningkatkan kemungkinan hujan di kawasan terjejas.
Susulan aktiviti Gunung Anak Krakatau, BNPB telah menyelaras dengan agensi pengurusan bencana daerah (BPBD) di kawasan terjejas bagi memantau keadaan di lapangan dan mengenal pasti keperluan tindak balas.
BNPB turut mengerahkan petugas ke beberapa kawasan terjejas untuk meninjau situasi secara langsung serta memastikan pihak berkuasa tempatan bersedia menghadapi kemungkinan kesan aktiviti gunung berapi itu.
Sehubungan itu, Suharyanto menggesa kerajaan tempatan memastikan kesiapsiagaan mekanisme pengurusan bencana termasuk sistem amaran awal, pusat pemindahan, pelan kontingensi serta bekalan makanan dan barangan keperluan.
“Sekiranya bekalan tambahan diperlukan, kami akan memohon bantuan daripada kerajaan pusat,” katanya.
Beliau berkata setakat ini tiada kawasan terjejas yang mengisytiharkan darurat.
Bagaimanapun, BNPB akan terus menyelaras dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi menghadapi kemungkinan aktiviti susulan Gunung Anak Krakatau serta kesannya terhadap orang ramai. – Bernama




