BINTULU: Program latihan teknikal perlu terus diperkasa dan disesuaikan dengan keperluan industri semasa bagi memastikan tenaga kerja Sarawak kekal relevan dalam menghadapi perubahan teknologi serta tuntutan industri masa depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pembangunan kompetensi tenaga kerja tidak seharusnya terhenti pada kelayakan asas, sebaliknya perlu meliputi pendedahan kepada piawaian, amalan serta keperluan kompetensi sebenar di tempat kerja.
Menurutnya, perkara tersebut amat penting bagi sektor industri yang semakin kompleks dan memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang minyak dan gas, Gas Asli Cecair (LNG), petrokimia, pembuatan serta industri berkaitan tenaga.
“Bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya, aspirasi kita perlu melangkaui kelayakan asas.
“Kita memerlukan program yang bertindak balas terhadap keperluan industri sebenar dan mendedahkan tenaga kerja kepada standard, amalan serta jangkaan kompetensi yang digunakan di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Simposium Kesedaran Teknikal API 510 & API 570 (Edisi Sarawak) serta pembukaan cawangan baharu IDC Training House di Bintulu, hari ini.
Roland memberitahu, kerjasama antara kerajaan, institusi TVET, majikan dan pakar teknikal perlu diperkukuh bagi memastikan kandungan latihan sentiasa selari dengan perubahan teknologi dan keperluan sebenar industri.
Menurutnya, pemain industri juga mempunyai peranan penting dalam pembangunan bakat melalui perkongsian keperluan kompetensi, penyediaan pendedahan industri serta sokongan terhadap peningkatan kemahiran secara berterusan.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja dapat meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, malah membantu industri memastikan operasi lebih selamat, produktif dan berdaya tahan.
“Latihan teknikal bukan sekadar kos operasi, sebaliknya perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam keselamatan, kebolehpercayaan, produktiviti dan daya tahan perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembukaan cawangan IDC Training House di Bintulu memberi nilai tambah kepada ekosistem latihan teknikal tempatan dengan menyediakan akses lebih dekat kepada program pembangunan kompetensi khusus.
Katanya, ia juga berpotensi mengurangkan keperluan tenaga kerja dan profesional Sarawak untuk mendapatkan latihan berkaitan di Semenanjung atau luar negara.
Roland berkata, inisiatif seperti itu penting dalam menyokong aspirasi Sarawak membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran, mudah menyesuaikan diri dan bersedia memenuhi keperluan industri yang terus berkembang.
Simposium selama tiga hari itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai integriti peralatan bertekanan dan sistem perpaipan, piawaian teknikal antarabangsa serta laluan kompetensi profesional berkaitan API 510 dan API 570.
Oleh Carolyne Utih





