SIBU: Dataran Tun Tuanku Bujang di sini diserikan dengan pelbagai persembahan seni dan budaya sempena malam pembukaan Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2026, malam tadi.
Bertemakan “Echoes of Borneo”, pesta anjuran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) itu membuka tirainya dengan gimik perasmian lampu pintu gerbang BCF berbentuk gua batu kapur sekitar 8.00 malam.
Majlis perasmian BCF 2026 disempurnakan oleh Pengerusi MPS, Kaunselor Clarence Ting Ing Horh.
Pengunjung mula hadir seawal 6.00 petang bagi menyaksikan persembahan kebudayaan unik dan warna-warni yang disajikan sepanjang acara malam pembukaan.
Persembahan awal oleh KEMADA membuka tirai acara sebelum diteruskan dengan gabungan pertunjukan seni dan tari daripada Hornland Dance Theatre, Link Martial Art Theatre, SJK Su Lai, SM Wong Nai Siong, SMK Sacred Heart, D’Tari serta Elemenz.
Turut menyerikan suasana ialah persembahan kebudayaan khas daripada kumpulan Kaki Seni Gerhayu, persembahan kebudayaan murid SM Wong Nai Siong serta persembahan muzik secara langsung oleh penyanyi tempatan popular, K’Lunan Magat.
Kepelbagaian persembahan itu memberikan warna tersendiri kepada malam pembukaan BCF 2026, yang menghimpunkan seni dan budaya Borneo dalam satu pentas.
Hadir sama Pengerusi Pengelola BCF 2026, Kaunselor Michelle Law serta barisan ahli majlis MPS yang lain.





