JAKARTA: Gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia kekal sangat aktif dan aktivitinya berpotensi meningkat meskipun berlaku penurunan ketara pada kekuatan isyarat seismik gunung berapi yang direkodkan hari ini.
Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Siti Sumilah Rita Susilawati, berkata amplitud seismik gunung berapi itu menurun dengan ketara, namun dinamik aktivitinya kekal sangat tinggi, manakala Badan Geologi terus menjalankan pemantauan sepanjang masa.
“Dinamiknya masih sangat tinggi, jadi penurunan ini tidak semestinya menunjukkan aktiviti telah terhenti. Masih ada kemungkinan aktiviti itu boleh meningkat,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam kemas kini hari ini memaklumkan letusan berterusan bermula kira-kira 11.07 malam pada 4 September disertai bunyi deram-derum dan dentuman serta pancutan lava, manakala Badan Geologi dalam laporan khas bertarikh 5 September memaklumkan aktiviti terkini itu merupakan sebahagian daripada siri letusan yang bermula pada 2 Julai.
Mengenai taburan abu terkini pada 10.30 pagi, Siti Sumilah berkata awan abu tebal pada ketinggian kira-kira 50,000 kaki atau 15 kilometer dari paras laut telah bergerak menjauhi kawah aktif ke arah barat daya menuju Lautan Hindi.
“Pada ketinggian kira-kira 20,000 kaki atau enam kilometer, pelepasan abu gunung berapi yang berterusan dari lohong kawah dibawa angin ke arah barat, manakala sisa abu halus daripada fasa letusan sebelumnya bergerak ke arah timur menuju perairan di selatan Selat Sunda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Badan Geologi Lana Saria berkata Anak Krakatau kekal pada Tahap III (Siaga), iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia, dengan ancaman yang dikenal pasti dalam penilaian keseluruhan agensi itu masih tertumpu di sekitar gunung berapi berkenaan dan dalam radius tiga kilometer yang disyorkan.
Beliau berkata setakat ini tiada potensi ancaman dikenal pasti terhadap kawasan kediaman.
“Radius yang disyorkan mungkin diperluas sekiranya berlaku peningkatan ketara dalam tenaga atau skala letusan, bahan gunung berapi mencapai jarak lebih jauh, berlaku peningkatan deformasi atau tekanan dalam gunung berapi, atau aliran piroklastik mahupun bahaya lain muncul di luar radius tiga kilometer,” katanya.
Menurut kertas kerja oleh ahli vulkanologi PVMBG yang diterbitkan dalam Indonesian Journal on Geoscience pada 2006, Anak Krakatau muncul di atas paras laut pada 1929 dalam kaldera yang terbentuk akibat letusan dahsyat Krakatau pada 1883, yang mencetuskan tsunami sehingga mengorbankan lebih 36,000 mangsa.
Anak Krakatau turut dikaitkan dengan tsunami maut hampir 90 tahun kemudian, dengan BNPB dalam laporan bencana pada 2018 memaklumkan bahawa tanah runtuh bawah laut yang dikaitkan dengan letusannya mencetuskan tsunami di Selat Sunda pada 22 Disember tahun itu, mengorbankan 437 mangsa. – Bernama




