LUNDU: Seramai 34 orang penerima dari kawasan Lundu dan Sematan menerima surat tawaran Rumah Spektra Permata (RSP) pada Rabu.
Majlis Penyerahan Surat Tawaran RSP Lundu dan Sematan berlangsung secara maya dengan disaksikan oleh Penguasa Jabatan Tanah & Survei Bahagian Kuching Alfian Bawi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Housing Development Corporation (HDC) Mohamad Asman Ahmad.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, RSP Lundu dan Sematan itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 15 Februari 2017 sewaktu Pilihanraya Kecil N3 Tanjong Datu,
“Projek ini telah siap dalam tempoh empat tahun. RSP Lundu telah siap pada bulan Ogos 2020 dan RSP Sematan pula telah siap pada Oktober 2020.
“Ia adalah Program Perumahan Kerajaan Negeri Sarawak khas untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan Golongan berpendapatan pertengahan (M40) di bawah Kontraktor Hav-Innovative Technology Sdn Bhd,” katanya.
Ujarnya, jenis rumah adalah jenis rumah bertiang ‘on stilt’ dan siap dengan semua fasiliti termasuk air dan elektrik.
Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani.
Oleh Jeakqleyn Yacho