BETONG: Operasi penghantaran bantuan bekalan air bersih kepada penduduk rumah panjang yang terjejas akibat kemarau di beberapa kawasan sekitar Betong diteruskan semalam, memasuki hari ketiga dengan penglibatan beberapa agensi bagi memastikan keperluan asas penduduk terus terpelihara.
Menurut kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong, operasi berkenaan melibatkan kerjasama APM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Operasi yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 7.00 malam itu menyaksikan pasukan gabungan bergerak dari RTC Layar bagi menghantar bekalan air minuman kepada lima rumah panjang yang dikenal pasti terjejas akibat kekurangan sumber air.

Sebanyak 1,018 kotak air minuman berjaya diagihkan dalam operasi hari ketiga itu, membabitkan 118 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 509 penduduk.
Lima rumah panjang yang menerima bantuan ialah Rumah Panjang Tebalau Ulu, Layar, Rumah Panjang Merunjau, Padeh, Rumah Panjang Mupoh Atas, Spaoh, Rumah Panjang Rantau Layang, Spaoh dan Rumah Panjang Pematuh, Betong.
Rumah Panjang Mupoh Atas menerima bekalan tertinggi sebanyak 292 kotak, diikuti Rumah Panjang Pematuh (224 kotak), Rumah Panjang Merunjau (208 kotak), Rumah Panjang Tebalau Ulu (174 kotak) dan Rumah Panjang Rantau Layang (120 kotak).

Pergerakan pasukan ke RTC Layar bermula pada 7.35 pagi sebelum proses permuatan bekalan air ke dalam kenderaan pengangkutan ATM dilakukan pada 8.40 pagi. Penghantaran ke rumah panjang terjejas kemudian bermula pada 9.15 pagi.
Operasi hari ketiga itu digerakkan dengan kekuatan seorang pegawai dan lima anggota LLP APM Betong, seorang pegawai serta 21 anggota LLP ATM, selain tiga staf JKR. Aset yang digunakan termasuk sebuah LRV APM, sebuah lori tiga tan, sebuah Toyota Hilux ATM dan dua kenderaan pacuan empat roda JKR.

Kerjasama rentas agensi itu memperlihatkan tindakan bersepadu dalam menangani situasi bekalan air, khususnya bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas tidak terputus daripada bekalan keperluan asas sepanjang tempoh kemarau.
Sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, APM Daerah Betong terus menyelaras bantuan bersama agensi berkaitan supaya penghantaran bekalan dilaksanakan secara teratur, pantas dan berkesan.
Operasi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan serta keadaan semasa di kawasan terjejas.
Oleh Adi Safarman




