SERIAN: Seorang wanita berusia 44 tahun cedera selepas kenderaan Toyota Hilux dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori pembancuh konkrit di Taman Bandar Baru Siburan, Jalan Serian-Kuching, hari ini.
Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tangan kiri dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 11.40 pagi.
Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak PBK I Rafiq Hussain, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 11.40 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Setibanya pasukan di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan lori.
“Mangsa mengalami luka pada bahagian muka serta cedera pada tangan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan set peralatan penyelamatan hidraulik sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi dikawal pada 12 tengah hari dan ditamatkan pada jam 12.27 tengah hari selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.
Operasi membabitkan enam anggota BBP Siburan dengan sebuah jentera Bomba (FRT).
Turut terlibat dalam operasi ialah dua anggota KKM.
Oleh Afiq Sallehi




