Warga emas perlu lebih berwaspada ketika jerebu – Fatimah

Facebook
WhatsApp
AMANAT… Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, ketika berucap pada Jamuan Muhibah Warga Emas 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Warga emas dan keluarga mereka dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya ketika keadaan jerebu melanda Sarawak, khususnya apabila kualiti udara merosot ke tahap tidak sihat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata warga emas merupakan antara golongan yang perlu diberikan perhatian khusus kerana lebih terdedah kepada kesan kualiti udara yang buruk.

Menurutnya, apabila jerebu semakin ketara atau kualiti udara mencapai tahap tidak sihat, warga emas perlu mengurangkan aktiviti luar yang berpanjangan serta mengelakkan aktiviti fizikal berat di luar rumah.

“Sekiranya perlu keluar, ambillah langkah berjaga-jaga yang sewajarnya, termasuk memakai pelitup muka yang sesuai dan dipakai dengan betul.

“Di rumah, pastikan pintu dan tingkap ditutup apabila kualiti udara di luar berada pada tahap tidak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jamuan Muhibah Warga Emas 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Fatimah turut mengingatkan warga emas supaya minum air secukupnya, mendapatkan rehat mencukupi dan terus mengambil ubat seperti diarahkan doktor, selain memberikan perhatian terhadap sebarang perubahan keadaan kesihatan.

PENGHARGAAN… Dato Sri Fatimah Abdullah menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penyumbang pada Jamuan Muhibah Warga Emas 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

Pada masa sama, beliau menggesa ahli keluarga, penjaga, jiran dan pertubuhan komuniti supaya mengambil berat kebajikan warga emas, khususnya mereka yang tinggal bersendirian dan memerlukan bantuan.

“Jenguklah mereka secara berkala dan pastikan mereka mempunyai bekalan air minuman yang mencukupi, akses kepada ubat-ubatan serta persekitaran yang selamat dan selesa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi nasihat, arahan dan langkah berjaga-jaga terkini yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) serta pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, kira-kira 500 warga emas daripada rumah kediaman, pusat jagaan, gereja, kumpulan komuniti dan persatuan dari Kuching, Kota Samarahan, Kota Sentosa, Serian dan Bau diraikan pada jamuan berkenaan.

Program anjuran Lions International District 308-A2, Region 1 itu turut menyaksikan penyerahan 40 kerusi roda kepada warga emas dan individu yang memerlukan bantuan pergerakan.

Fatimah berkata, sumbangan berkenaan merupakan contoh bagaimana pemberian yang sederhana mampu membawa perubahan besar kepada kualiti kehidupan seseorang.

Menurutnya, program yang melibatkan perbelanjaan hampir RM90,000 itu direalisasikan menerusi sokongan kerajaan, tajaan individu dan korporat serta sumbangan komuniti Lions.

Oleh Norman B