MIRI: Aduan orang ramai berhubung peningkatan mendadak bil elektrik berbanding penggunaan dan bayaran bulan sebelumnya perlu disiasat serta-merta bagi memastikan tiada kesilapan dalam proses pengebilan.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, berkata beliau menerima banyak aduan daripada pengguna di Miri dan kawasan sekitar yang mendakwa bil elektrik mereka meningkat luar biasa.
Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana peningkatan bil memberi tekanan kepada rakyat, khususnya ketika kos sara hidup terus menjadi kebimbangan masyarakat.
“Lebih penting, kita perlu pastikan sama ada peningkatan bil yang diterima pengguna berpunca daripada pertukaran meter, peningkatan penggunaan sebenar, bacaan meter, bil anggaran, struktur tarif ataupun sebarang isu dalam sistem proses pengebilan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Chiew berkata, semakan menyeluruh wajar dilakukan termasuk memastikan ketepatan bacaan meter serta membandingkan bil anggaran dengan bacaan meter sebenar.
Selain itu, katanya, penggunaan elektrik bulan semasa juga perlu dibandingkan dengan bulan-bulan terdahulu bagi mengenal pasti sebarang peningkatan yang luar biasa.
“Sebarang perubahan pada kaedah atau sistem pengebilan serta pengiraan caj mengikut kategori dan blok tarif yang berkuat kuasa juga perlu diteliti.
“Kita juga perlu memastikan sama ada terdapat sebarang kesilapan sistem yang menyebabkan bil tertentu meningkat secara luar biasa,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan membawa perkara itu kepada perhatian pihak berkuasa berkaitan selain mendapatkan penjelasan daripada Sarawak Energy Berhad berhubung aduan yang diterima daripada masyarakat Miri.
Chiew menegaskan penjelasan yang jelas dan telus penting bagi memastikan pengguna memahami punca sebenar peningkatan bil serta mengelakkan kebimbangan berterusan dalam kalangan orang ramai.
Oleh Liong Chai Ling




