SIBU: Mahkamah Majistret Sibu hari ini menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM10,000 atau penjara 18 bulan terhadap seorang pemuda atas dua pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta dua pertuduhan memiliki bahan lucah.
Majistret Oon Kork Chern terdahulu menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak terhadap tertuduh berusia 22.
Sementara bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, tertuduh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta bahan lucah tersebut di dalam telefon bimbit Poco X8 Pro Max dan komputer riba jenama Victus, di sebuah rumah pada 2 September lalu, lebih kurang 11.40 pagi.
Bagi pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, bertindak atas maklumat, pengadu yang juga seorang pegawai kanan polis telah membuat pemeriksaan terhadap seorang pemuda di sebuah rumah.
Dalam pemeriksaan itu, pengadu telah menjumpai bahan pronografi kanak-kanak di dalam telefon bimbit dan komputer riba milik tertuduh.
Siasatan yang dijalankan telah menemui kira-kira 545 gambar dan video lucah di dalam telefom bimbit sementara kira-kira 38 video lucah kanak-kanak dalam komputer riba milik tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Keshava Rao A/L Tharma Raja.
Oleh Akun Giman





