SIBU: Suspek kes pembunuhan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Jalan Rantau Panjang Jaya diperintah menjalani tahanan reman selama enam hari lagi bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Romario Jonoi hari ini, yang turut mengarahkan suspek berusia 49 tahun dihadapkan semula di mahkamah pada 10 September ini.
Pada 29 Ogos lepas, suspek telah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang pada 28 Ogos 2026, mangsa maut setelah dipercayai dikelar di leher oleh suspek yang juga bapa saudaranya.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan media berkata, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sibu.
“Bertindak atas maklumat diterima, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 49 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut.
Beberapa barang kes turut dirampas di tempat kejadian,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Oleh Akun Giman





