Jonah intai rekod kebangsaan baharu di Sukan Asia atau AUG

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru negara Jonah Chang Rigan menyasarkan Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Kuala Lumpur sebagai pentas untuk sekali lagi memperbaharui rekod kebangsaan miliknya, 19.12 meter (m), yang dicipta pada Julai lalu.

Jonah, atlet kelahiran Sarawak, berkata kedua-dua temasya berkenaan menjadi sasaran utamanya untuk mencabar rekod kebangsaan itu, masing-masing pada 19 September hingga 4 Oktober dan 10 hingga 20 Disember ini.

Rekod kebangsaan 19.12m itu dicatat Jonah pada Kejohanan Memorial Qosanov XXXV di Kazakhstan, Julai lalu.

Terdahulu, pada aksi final lontar peluru lelaki Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026, Jonah yang mewakili Universiti Malaya (UM) meraih pingat emas menerusi lontaran sejauh 18.22m, sekali gus memadam rekod temasya 16.33m milik Adi Alifuddin Hussin yang dicatat pada 2012.

Atlet berusia 23 tahun itu terlebih dahulu melakukan lontaran sejauh 17.49m pada percubaan kedua untuk memecahkan rekod temasya sebelum memperbaikinya kepada 18.22m pada percubaan ketiga.

Pingat perak menjadi milik wakil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nathaniel Majid dengan catatan 14.79m, manakala atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Kamal Farhan Abd Rahman meraih gangsa dengan 14.44m.

“Saya mahu melakukannya (memecahkan rekod kebangsaan) di Sukan Asia atau AUG kerana di sana nanti ada peserta yang lebih hebat, persaingan lebih sengit dan suasananya berbeza berbanding SUKIPT,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan hari ini.

Sementara itu, mengulas catatannya hari ini, Jonah mengakui berpuas hati dengan prestasinya meskipun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali kiri.

“Memandangkan keadaan saya yang masih belum pulih daripada kecederaan, saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi. Tadi saya berjaya melakukan lontaran sejauh 18m, jadi ia satu perkara yang baik,” katanya. – Bernama