KUCHING: Dua kawasan di Sarawak merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat berbahaya setakat 8.00 malam ini, membabitkan Lubok Antu dan Serian.
Lubok Antu mencatat bacaan tertinggi dengan IPU 470, manakala Serian merekodkan 408, sekali gus meletakkan kedua-dua kawasan dalam kategori sangat berbahaya.
Lundu pula berada pada tahap berbahaya dengan bacaan IPU 322.
Sementara itu, lima kawasan mencatat tahap sangat tidak sihat iaitu Tebedu dengan bacaan 284, Kuching (275), Sri Aman (269), Samarahan (263) dan Sarikei (214).
Sebanyak 11 kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Betong (196), Kanowit (192), Sibu (181), Mukah (170), Bintulu (163), Samalaju (162), Lawas (156), ILP Miri (153), Limbang (152), Bario (132) dan Kapit (151).
Miri menjadi satu-satunya kawasan yang mencatat tahap sederhana dengan bacaan IPU 92.
Secara keseluruhan, daripada 20 stesen yang disenaraikan, dua berada pada tahap sangat berbahaya, satu berbahaya, lima sangat tidak sihat, 11 tidak sihat dan satu sederhana.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 301 hingga 400 diklasifikasikan sebagai berbahaya, manakala bacaan antara 401 hingga 500 berada pada tahap sangat berbahaya.
Keadaan pada tahap sangat berbahaya boleh memberi kesan kepada golongan berisiko tinggi serta kesihatan awam, manakala IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.




