Pesawat Garuda bawa 149 penumpang, kru selamat mendarat di Makassar selepas alami masalah tayar

Facebook
WhatsApp
PESAWAT Garuda Indonesia Boeing 737-800 yang berlepas dari Jakarta selamat mendarat di Makassar selepas tayar roda utama nombor tiga dilaporkan pecah. Foto AGENSI

JAKARTA: Sebuah pesawat Garuda Indonesia yang membawa 149 penumpang dan kru selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar, hari ini selepas mengalami masalah tayar dalam penerbangan dari Jakarta.

Pengarah Pengangkutan Udara Kementerian Pengangkutan Indonesia Lukman F Laisa berkata pesawat Boeing 737-800 dengan nombor penerbangan GA604 itu mendarat dengan selamat pada 9.13 pagi waktu tempatan, dengan kesemua 141 penumpang dan lapan kru dilaporkan selamat.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan awal, didapati tayar pada roda utama nombor tiga pecah.

“Pesawat itu kemudian ditunda dari landasan ke petak parkir untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan kerja pembaikan, termasuk penggantian roda utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pesawat bernombor pendaftaran PK-GFS itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

Lukman berkata kementerian terus berkoordinasi dengan pasukan teknikal bagi menjalankan pemeriksaan lanjut dan kerja pembaikan, selain memantau pengendalian pesawat berkenaan bagi memastikan keselamatan operasi penerbangan.

“Keselamatan dan sekuriti penerbangan kekal menjadi keutamaan utama pihak berkuasa penerbangan Indonesia,” katanya.- Bernama