KUCHING: Keadaan kualiti udara di Sarawak masih membimbangkan apabila Lubok Antu merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat berbahaya dengan bacaan 470 setakat 12.00 tengah hari ini.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian pula kekal pada tahap berbahaya dengan bacaan IPU 364, meningkat berbanding 343 yang direkodkan pada 8.00 pagi.
Sri Aman mencatat bacaan 287, diikuti Lundu (281), Kuching (279), Samarahan (266) dan Tebedu (260), yang kesemuanya berada pada tahap sangat tidak sihat.

Turut berada dalam kategori sama ialah Kanowit dengan bacaan 220, Sarikei (217) dan Betong (208).
Sementara itu, Sibu mencatat IPU 183, Bintulu (172), Mukah (169), Kapit dan Samalaju masing-masing 167, Lawas (158), Limbang (154), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (152) serta Bario (147), yang kesemuanya berada pada tahap tidak sihat.
Miri menjadi satu-satunya stesen yang merekodkan tahap sederhana dengan bacaan IPU 98 setakat tengah hari ini.

Daripada keseluruhan 20 stesen yang disenaraikan, satu berada pada tahap sangat berbahaya, satu berbahaya, lapan sangat tidak sihat, sembilan tidak sihat dan satu sederhana.
Bacaan IPU antara 201 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat dan boleh menjejaskan kesihatan awam, manakala bacaan 301 hingga 400 adalah berbahaya.
Bacaan antara 401 hingga 500 pula dikategorikan sebagai sangat berbahaya dan boleh mendatangkan risiko kepada golongan berisiko tinggi serta kesihatan awam.
IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.




