KUALA LUMPUR: Pengembalian kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) kepada 300 liter sebulan dapat meringankan beban kewangan golongan B40 dan M40, sekali gus merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara (KDNK) menerusi perlindungan kuasa beli isi rumah.
Pensyarah Kanan (Ekonomi) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu Dr Mohd Khairi Ismail berkata langkah itu turut memberi ruang kepada rakyat mengalihkan lebihan pendapatan kepada keperluan asas lain seperti makanan dan pendidikan.
Beliau berkata kos bahan api yang stabil membolehkan isi rumah menguruskan aliran tunai harian dengan lebih berkesan seterusnya mengurangkan tekanan kos sara hidup semasa.
“(Langkah) ini memang memberi kelegaaan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan juga sederhana yang kita lihat banyak bergantung kepada kenderaan persendirian untuk bekerja, menghantar anak ke sekolah dan juga mengurus aktiviti harian,” katanya dalam program Reaksi: Subsidi BUDI95 dan BUDI Diesel terbitan Bernama Radio hari ini.
Mengenai pelanjutan kuota BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan untuk kenderaan jenis pikap dan jip, Mohd Khairi menyifatkannya sebagai langkah tepat memandangkan kenderaan itu kebanyakannya digunakan sebagai aset ekonomi bagi peniaga kecil, kontraktor dan petani.
Beliau berkata kawalan kos operasi sektor perniagaan mikro secara tidak langsung dapat mengekang rantaian kenaikan harga barang dan perkhidmatan kepada pengguna akhir.
“Apabila melibatkan aktiviti perniagaan, ia melibatkan kos operasi. Dengan adanya BUDI Diesel ini sebenarnya kos operasi dapat dikurangkan dan aliran tunai perniagaan kecil menjadi lebih longgar.
“Contohnya, jika kos bahan api lebih rendah, peniaga mempunyai lebih banyak ruang untuk menampung kos bahan mentah, membeli stok, membayar pekerja atau dapat mengekalkan harga barang dan perkhidmatan yang lebih rendah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan kuota subsidi itu wajar dijadikan mekanisme peralihan jangka pendek dan bukannya penyelesaian kekal.
Katanya, kerajaan perlu terus memperkemas pangkalan data berintegrasi dan mekanisme kawalan ketirisan bagi memastikan bantuan kewangan negara benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran yang layak secara mampan.
“Penyelarasan terbaik bukanlah pemotongan subsidi secara mendadak tetapi menerusi penambahbaikan penyasaran secara berperingkat. Kita mula melindungi rakyat yang memerlukan tetapi pada masa yang sama semakin memperkemaskan data, kawalan ketirisan dan juga sasaran penerima yang betul-betul layak,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya pada Ahad mengumumkan kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, yang akan memanfaatkan lebih 16 juta pengguna RON95 bersubsidi.
Anwar berkata lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut akan menerima BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan, yang berkuat kuasa 1 September ini. – Bernama





