NUWAKOT, Nepal: Keluarga di Nepal mengadakan upacara pengebumian simbolik untuk “membebaskan roh” orang tersayang yang masih hilang selepas banjir kilat dahsyat melanda kawasan Himalaya dan menghanyutkan kampung serta kediaman mereka seminggu lalu.
Pasukan kecemasan telah menemukan lebih 1,000 mayat, manakala hampir 4,500 orang masih hilang selepas gelombang besar air sejuk yang membawa batu dan serpihan, susulan keruntuhan glasier di kawasan altitud tinggi, melanda kawasan sempadan China-Nepal pada 26 Ogos.
Selepas berhari-hari menjalankan pencarian di pusat perlindungan dan bilik mayat, saudara-mara sebahagian mangsa yang masih hilang mula kehilangan harapan lalu mengadakan upacara terakhir untuk mereka.

“Kami terpaksa melakukannya untuk membebaskan rohnya supaya dia tenang dan bahagia di mana-mana sahaja dia berada,” kata Dolma Newar Tamang sambil ditemani anak lelakinya yang menangis teresak-esak pada upacara pengebumian suaminya.
Suaminya sedang dalam perjalanan ke China ketika bencana itu berlaku.
“Saya melihat berita itu dan menelefonnya,” katanya kepada AFP. “Saya menelefonnya berkali-kali, tetapi dia tidak pernah menjawab.”
Seminggu selepas bencana dahsyat itu, pasukan penyelamat Nepal masih berharap dapat menemukan mangsa yang terselamat, khususnya di beberapa terowong loji kuasa hidroelektrik di seluruh kawasan berkenaan.
Setakat ini, pasukan penyelamat hanya menemukan mayat dari terowong yang tersumbat dengan lumpur, namun operasi mencari masih diteruskan dengan menggali, menggerudi dan menggunakan bahan letupan untuk menyingkirkan timbunan serpihan, dalam usaha menemukan mangsa yang mungkin masih hidup.
Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal, berkata beliau masih berharap sebahagian daripada ribuan orang yang hilang mungkin masih hidup.

“Keajaiban memang boleh berlaku,” katanya kepada AFP dalam satu temu bual. “Pada ketika ini, saya tidak mahu berputus asa sepenuhnya.”
Tanggungjawab global
Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, berkata bencana itu merupakan “petunjuk serius bahawa risiko yang kita hadapi di rantau Himalaya semakin meningkat seiring dengan perubahan iklim”.
“Perubahan iklim merupakan tanggungjawab global dan tindak balas terhadap bencana juga merupakan tanggungjawab global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Para saintis berkata banjaran Himalaya, banjaran gunung tertinggi di dunia, mengalami peningkatan suhu dengan pantas susulan kenaikan suhu global, sekali gus mempercepatkan pencairan glasier.
Glasier di kawasan lebih luas Himalaya dan Hindu Kush merupakan sumber air penting kepada kira-kira 240 juta penduduk di kawasan pergunungan, selain 1.65 bilion penduduk lain yang tinggal di lembah sungai Asia Selatan dan Asia Tenggara di kawasan lebih rendah.
Kemarahan semakin memuncak berikutan skala kemusnahan yang melanda Nepal, sebuah negara yang sebahagian besarnya terdiri daripada kawasan luar bandar dan mempunyai penduduk sekitar 30 juta orang.
Nepal hanya menyumbang sedikit kepada pelepasan gas rumah hijau yang mendorong pemanasan global, namun negara itu antara yang paling terkesan akibat perubahan tersebut.
Kathmandu memberi amaran bahawa kos pembinaan semula mungkin mencecah “berbilion-bilion dolar”.
Ekonomi Nepal sememangnya sudah berada di bawah tekanan, dengan sumber yang terhad untuk menangani bencana sebesar ini.
Menggambarkan skala kemusnahan tersebut, media kerajaan China melaporkan bahawa akses jalan raya ke Pelabuhan Gyirong di Tibet, yang terjejas teruk, hanya dapat dipulihkan pada Rabu selepas “berhari-hari kerja pembaikan tanpa henti”.
Pengebumian beramai-ramai
Dengan bilik mayat di Nepal yang sudah penuh, pihak berkuasa terpaksa mengebumikan ratusan mayat yang belum dikenal pasti selepas sampel DNA diambil.
Nepal berkata 1,050 mayat telah ditemukan sehingga Selasa, manakala 3,916 orang masih hilang.
Media kerajaan China melaporkan 16 orang maut dan 546 masih hilang.
Jumlah keseluruhan yang dilaporkan maut kini mencecah 1,066 orang, manakala 4,462 lagi masih hilang.
Sekurang-kurangnya 17 mayat turut ditemukan di sungai-sungai di hilir di India.
Di China, wartawan asing dikenakan sekatan untuk membuat liputan di Tibet, manakala pihak berkuasa China mengawal ketat sumber maklumat mengenai wilayah berkenaan.
Kumpulan advokasi Tibet yang berada dalam buangan mempersoalkan laporan China berhubung bencana tersebut, namun Beijing menegaskan bahawa “penyampaian maklumat telah dilakukan secara terbuka, telus dan tepat pada masanya”. – AFP





