BINTANGOR: Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2026 Edisi Ke-11 yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 6 September ini ditangguhkan susulan keadaan jerebu pada tahap berbahaya yang turut menjejaskan jarak penglihatan di Sungai Rajang.
Jawatankuasa Pengelola Pesta Meradong 2026 berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa serta lawatan dan penilaian keadaan semasa di tapak acara.
Katanya, faktor kesihatan dan keselamatan menjadi pertimbangan utama selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 352, selain keadaan jerebu menyebabkan jarak penglihatan di Sungai Rajang, Bintangor, semakin terhad.
“Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) selaku penganjur rasmi Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2026 Edisi Ke-11 dengan ini memaklumkan bahawa acara yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 6 September 2026 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
“Keputusan ini dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengelola serta lawatan dan penilaian di tapak acara, dengan mengambil kira keadaan jerebu semasa apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 352, iaitu pada tahap berbahaya,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook Pesta Meradong, hari ini.
Katanya, keadaan jerebu bukan sahaja memberi kesan terhadap kesihatan mereka yang terlibat, malah meningkatkan risiko keselamatan kepada pelumba ketika perlumbaan berlangsung di Sungai Rajang.
“Keadaan jerebu turut menyebabkan jarak penglihatan di Sungai Rajang, Bintangor, menjadi terhad, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan kepada para pelumba.
“Jarak penglihatan yang terhad juga menyukarkan kru dan pasukan keselamatan mengesan kehadiran serta pergerakan kapal besar yang melalui Sungai Rajang, selain boleh menjejaskan operasi kecemasan dan menyelamat sekiranya berlaku kemalangan di atas air,” katanya.
Situasi itu menjadi antara pertimbangan penting memandangkan perlumbaan melibatkan aktiviti berkelajuan tinggi di perairan, manakala Sungai Rajang turut digunakan oleh kapal dan pengguna sungai lain.
Katanya, penangguhan merupakan langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan risiko kepada semua pihak sehingga keadaan kembali sesuai untuk penganjuran acara.
“Sehubungan itu, demi mengutamakan kesihatan dan keselamatan pelumba, kru, petugas, pasukan keselamatan serta orang awam, Jawatankuasa Pengelola memutuskan supaya acara ini ditangguhkan sehingga keadaan kembali sesuai dan selamat.
“Tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian. Pihak penganjur menghargai kerjasama dan pengertian semua pihak. Segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.
Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2026 Edisi Ke-11 merupakan antara acara sempena Pesta Meradong 2026. Tarikh baharu penganjurannya akan diumumkan selepas mengambil kira perkembangan keadaan semasa.
Oleh Earl Anek




