IPU berbahaya masih membelenggu sembilan kawasan di Sarawak

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU setakat 8.00 malam ini.

KUCHING: Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya masih membelenggu sembilan kawasan di Sarawak setakat 8.00 malam ini, dengan IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 364.

Kawasan lain yang berada pada tahap berbahaya ialah Lubok Antu dengan bacaan 360, Kanowit (359), Lundu (348), Tebedu (345), Kuching (338), Sarikei (324), Sibu (319) dan Samarahan (316).

Jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 4.00 petang tadi apabila 10 kawasan mencatatkan IPU pada tahap berbahaya, selepas Sri Aman beralih ke tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 279.

Selain Sri Aman, empat kawasan lain turut mencatatkan tahap sangat tidak sihat, iaitu Bintulu dengan bacaan 242, diikuti Mukah (240), Betong (223) dan Samalaju (218).

Sementara itu, enam kawasan berada pada tahap tidak sihat, dengan IPD Miri merekodkan bacaan 189, diikuti Kapit (185), Miri (184), Limbang (175), Lawas (167) dan Bario (140).

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan 301 hingga 400 dikategorikan sebagai berbahaya.

Tahap berbahaya boleh mendatangkan risiko kepada golongan berisiko tinggi serta kesihatan awam, manakala tahap sangat tidak sihat boleh memburukkan keadaan kesihatan, terutama bagi mereka yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.

IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.