Rekod peribadi jadi sasaran utama atlet Para Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Fatimah Abdullah menyampaikan amanat kepada kontinjen Sarawak pada Majlis Pelepasan Atlet Para Sarawak ke Para Sukma Selangor 2026 di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Peningkatan pencapaian individu perlu menjadi keutamaan atlet Para Sarawak ketika berdepan saingan Para Sukma Selangor 2026, sebelum menyasarkan kejayaan lebih tinggi termasuk menghadiahkan pingat emas kepada negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata setiap atlet wajar hadir ke kejohanan dengan sasaran tersendiri, khususnya untuk memperbaiki catatan yang pernah dilakar sebelum ini.

“Yang pasti ialah setiap orang dapat memperbaiki sasarannya, rekodnya. Mesti naikkan satu peringkat lagi. Itu sudah menjadi satu kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada kontinjen Sarawak pada Majlis Pelepasan Atlet Para Sarawak ke Para Sukma Selangor 2026 di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di sini, hari ini.

Menurutnya, kejayaan atlet tidak semestinya diukur melalui kutipan pingat semata-mata, sebaliknya berdasarkan pencapaian yang dicapai secara berperingkat sepanjang penyertaan mereka.

Katanya, antara perkara penting yang perlu dilalui ialah proses klasifikasi, kelayakan untuk mengambil bahagian, peningkatan prestasi dan pencapaian rekod peribadi sebelum atlet mampu mencapai sasaran pingat emas.

SEBAHAGIAN atlet Para Sarawak yang akan menggalas cabaran negeri pada Para Sukma Selangor 2026 sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), hari ini. Foto UKAS

Fatimah berkata, proses klasifikasi di Selangor juga perlu berjalan lancar supaya atlet yang telah menjalani persiapan dapat bertanding dalam acara masing-masing tanpa berdepan sebarang halangan berkaitan kelayakan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan atlet supaya memberi perhatian terhadap tahap kecergasan, kekuatan mental dan kestabilan emosi, selain menjaga pemakanan serta kesihatan sepanjang tempoh kejohanan.

Kontinjen Sarawak kali ini membabitkan 383 anggota, termasuk 172 atlet, 126 pegawai dan 85 pegawai sokongan yang akan membawa cabaran negeri pada Para Sukma Selangor 2026.

Beliau menjelaskan, pembentukan kontinjen itu merupakan hasil persiapan yang dilaksanakan lebih setahun, dengan pengurus dan jurulatih berusaha mengenal pasti bakat baharu sebelum digandingkan bersama atlet sedia ada.

Katanya, penyertaan atlet Para Sarawak juga membawa tanggungjawab lebih besar kerana mereka bukan sahaja berjuang untuk mencapai keputusan terbaik, malah mengharumkan nama negeri serta membuktikan keupayaan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam bidang sukan.

“Jadikan segala cabaran yang dilalui sebagai kekuatan untuk terus memberikan yang terbaik. Kekal fokus dan lakukan yang terbaik untuk Sarawak,” ujarnya.