BINTULU: Berbekalkan pelbagai kemahiran yang dimiliki, seorang ibu kepada sembilan anak, Nur Asma Idin, 37, gigih mencari pendapatan tambahan bagi membantu suaminya menampung keperluan harian keluarga.Berasal dari Mukah, Nur Asma kini menetap di Bintulu bersama suaminya, Romzi Ahamal, 43, yang bekerja sebagai petugas RELA.
Menurut Nur Asma, antara kemahiran yang dimilikinya termasuk solekan, jahitan dan menghasilkan kuih tradisional, yang kini dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan tambahan bagi membantu menyara keluarga.
Minatnya dalam bidang solekan yang pada asalnya sekadar hobi mendorong beliau mengikuti kelas bagi mempelajari asas solekan sebelum menceburi bidang berkenaan secara lebih serius.
“Kemahiran yang saya ada pada asalnya hanya sekadar hobi. Saya memang minat dalam bidang solekan, jadi saya mula mengikuti kelas untuk belajar asas solekan sebelum akhirnya menceburi bidang ini sebagai MUA,” katanya.


Bagi kemahiran menjahit pula, Nur Asma berkata, kemahiran tersebut sudah dimilikinya sejak dahulu dan berkemungkinan dipengaruhi oleh keluarganya yang turut mempunyai minat dalam bidang jahitan.
“Kalau menjahit memang saya sudah ada kemahiran dari dulu lagi. Mungkin boleh dikatakan turun-temurun juga sebab dalam keluarga saya memang ramai yang suka menjahit,” katanya.
Kemahiran tersebut kini dimanfaatkan dengan menerima tempahan jahitan selain membuka kelas jahitan kepada mereka yang berminat mempelajari kemahiran berkenaan.
Antara tempahan yang diterimanya termasuk pakaian tradisional, malah terdapat pelanggan dari Sabah yang mendapatkan khidmat jahitannya untuk menghasilkan pakaian tradisional Bajau.
Selain menerima tempahan jahitan, Nur Asma turut mengendalikan kelas asas solekan di butik Tiara Boutique, Commerce Square, setiap hari kecuali Isnin.
Dalam usaha menambah pendapatan keluarga, beliau turut menghasilkan pelbagai kuih kering seperti rempeyek, kuih lidah buaya dan muruku untuk dijual kepada pelanggan.
Kuih berkenaan dijual pada harga RM10 seplastik, manakala bagi bekas bersaiz besar, harganya antara RM80 hingga RM150 bergantung kepada jenis dan kuantiti kuih.
Tidak terhad kepada jualan secara bersemuka, Nur Asma turut menggunakan platform TikTok sebagai medium untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Menerusi siaran langsung, beliau dapat berinteraksi dengan pelanggan selain memperkenalkan jualan kuih, tempahan jahitan dan perkhidmatan solekan kepada orang ramai.
Penggunaan media sosial itu juga membuka lebih banyak peluang kepadanya untuk memperkenalkan hasil kerja kepada pelanggan yang lebih luas tanpa hanya bergantung kepada promosi dari mulut ke mulut.


Namun, di sebalik pelbagai usaha yang dilakukan, Nur Asma mengakui menguruskan keluarga dan mencari rezeki pada masa sama bukan sesuatu yang mudah.
Sebagai ibu kepada sembilan anak, masa perlu dibahagikan sebaik mungkin supaya tanggungjawab terhadap keluarga tidak terabai.
“Memang ada masa penat, tetapi bila fikir tentang anak-anak, kita kena terus kuat. Kalau kita berhenti berusaha, siapa lagi yang akan fikirkan masa depan mereka,” katanya.
Baginya, kepenatan yang dirasai menjadi kecil apabila melihat hasil usaha tersebut dapat membantu memenuhi keperluan keluarga.
“Saya percaya kita kena gunakan apa sahaja kemahiran yang kita ada. Tidak semestinya perlu bermula dengan modal yang besar. Kalau pandai menjahit, menjahitlah. Kalau pandai memasak, gunakan kemahiran itu untuk berniaga. Yang penting kita berani mencuba,” katanya.
Nur Asma juga tidak melihat pekerjaan yang dilakukannya sebagai sesuatu yang memalukan, sebaliknya menganggap setiap usaha mencari rezeki sebagai pengalaman yang mengajarnya untuk lebih berdikari dan tidak mudah mengalah.
Menurutnya, cabaran dan keletihan adalah sebahagian daripada proses, namun perkara paling penting adalah terus bergerak dan mencari peluang yang ada.
“Jangan malu untuk mencari rezeki. Walaupun mula sedikit, jangan pandang kecil usaha itu. Dari sedikit itulah kita boleh belajar dan berkembang,” katanya.
Lebih daripada sekadar mencari pendapatan, setiap usaha yang dilakukan Nur Asma turut didorong oleh keinginannya untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak-anak.
Beliau berharap anak-anaknya dapat melihat usaha yang dilakukan sebagai contoh bahawa kehidupan memerlukan kesungguhan, keberanian dan sikap tidak mudah berputus asa.

Dalam masa sama, Nur Asma berharap kisahnya dapat memberi semangat kepada ibu atau keluarga lain yang sedang berdepan keadaan sama supaya tidak mudah menyerah kepada keadaan.
“Kepada ibu-ibu yang sedang berusaha seperti saya, jangan rasa kita tidak mampu. Mulakan dengan apa yang kita ada dan buat apa yang kita tahu. Jangan tunggu semuanya sempurna. Selagi kita masih boleh berusaha, teruskan,” katanya.
Katanya, seseorang juga tidak perlu membandingkan perjalanan hidup sendiri dengan orang lain kerana setiap keluarga mempunyai cabaran dan kemampuan yang berbeza.
“Rezeki setiap orang tidak sama. Yang penting kita buat yang terbaik untuk keluarga dan jangan berhenti berusaha. Mungkin hari ini kita susah, tetapi kita tidak tahu apa yang menunggu pada masa akan datang,” katanya.
Kisah Nur Asma menjadi gambaran bahawa kemahiran yang dimiliki boleh menjadi aset berharga apabila dimanfaatkan dengan baik.
Daripada jahitan yang disiapkan, pelanggan yang disolek, kuih yang dihasilkan hingga promosi menerusi TikTok, setiap usaha menjadi sebahagian daripada perjalanan seorang ibu mencari rezeki demi keluarganya.
Bagi Nur Asma, selagi masih mempunyai kudrat dan kemahiran untuk digunakan, beliau akan terus mencari ruang dan peluang untuk menambah pendapatan serta memberikan yang terbaik buat sembilan anaknya.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kuih kering, kelas jahitan dan asas solekan yang dikendalikan Nur Asma boleh menghubunginya di talian 013-227 6910.
Oleh Faizah Muzidi




